Credit: Petroliam Nasional Bhd (Petronas)
KUALA LUMPUR, 18 Ogos -- Petroliam Nasional Bhd (Petronas) telah menyelesaikan penghantaran kargo pertamanya bagi gas asli cecair (LNG) neutral karbon kepada Shikoku Electric Power Company, Inc.
Kargo itu dihantar dari Kompleks LNG Petronas (PLC) di Bintulu, Sarawak dan telah diterima pada Selasa di terminal LNG Sakaide yang terletak di Pulau Shikoku, Jepun.
Petronas menjelaskan ia mengimbangi jangkaan jejak karbon kitar hayat kargo LNG itu menerusi kredit karbon berasaskan boleh baharu untuk pelepasan yang dijana daripada cari gali dan pengeluaran gas huluan, pengangkutan, pencecairan dan penghantaran kargo.
Selain itu, kredit karbon yang digunakan Petronas bagi penghantaran itu disahkan menerusi proses pengesahan yang ketat mengikut program Standard Karbon DiPerakui, yang diiktiraf di peringkat global dan telah diterima guna oleh peserta dan pengeluar tenaga.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz bekata dalam membuktikan sokongan terhadap peralihan tenaga dan sejajar dengan pernyataan tujuan Petronas, pihaknya akan terus mempelbagaikan produk dan tawaran kepada pasaran.
“Dalam masa yang sama, mentransformasikan Petronas untuk menjadi penyedia tenaga lebih bersih dan lebih mampan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata pihaknya gembira dapat bekerjasama dengan Shikoku Electric bagi penghantaran kargo LNG neutral karbon pertama, yang bertepatan dengan tarikh ulang tahun ke-47 Petronas.
“Bagi Petronas, ini merupakan satu pencapaian penting dalam usaha kami menyediakan penyelesaian tenaga lebih bersih yang memacu kemajuan berlandaskan cara yang bertanggungjawab,” katanya.
Dalam industri LNG, LNG neutral karbon dilihat sebagai pemangkin untuk menggalakkan komitmen karbon yang lebih luas, dengan semakin ramai pengguna LNG mencari jalan untuk mengurangkan jejak karbon masing-masing.
Menurut Petronas, sebagai peserta tenaga bersepadu, pihaknya berusaha untuk menjalinkan kerjasama dengan pembeli dan pengguna akhir ke arah mencapai matlamat kelestarian.
Mengulas penghantaran itu, Presiden Shikoku Electric, Keisuke Nagai berkata pihaknya mempunyai hubungan baik dengan Petronas sejak 15 tahun lepas.
“Kami gembira Petronas telah memulakan usaha ini yang menandakan pencapaian penting memandangkan industri LNG semakin beralih ke arah masa depan yang lebih lestari,” katanya.
-- BERNAMA
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]