Berita

Bekalan tenaga elektrik dari Sarawak akan pacu pembangunan Sabah - Hajiji



KOTA KINABALU, 6 Ogos -- Perjanjian antara Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan anak syarikat Sarawak Energy Berhad (SEB), Syarikat SESCO Bhd, akan menyaksikan pengimportan bekalan elektrik 30MW bagi tempoh 15 tahun sebagai permulaan menerusi talian transmisi litar berkembar 275kV sejauh 31km dari Lawas di Sarawak hingga ke Mengalong di Sabah.

Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor berkata ia merupakan perjanjian bagi mengimport bekalan elektrik dari Sarawak dalam usaha memacu pembangunan negeri sebagaimana yang digariskan menerusi rancangan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Beliau berkata sambungan itu dijangka bermula pada akhir 2023 setelah peluasan grid di bawah Agenda Utara Sarawak Energy menghubungkan Miri dengan bandar-bandar di utara Sarawak, yakni Limbang dan Lawas.

“Kerajaan Negeri menyambut baik inisiatif itu kerana ia akan memacu sistem bekalan tenaga Sabah.. bekalan elektrik yang stabil amat penting kearah memastikan kejayaan agenda pembangunan SMJ yang berpaksikan kepada tiga teras utama yakni pertanian, industri dan pelancongan,” katanya semasa dalam ucapan yang disampaikan secara maya di sini.

Terdahulu beliau bersama Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menyaksikan majlis menandatangani perjanjian mengenai pertukaran tenaga dan kesalingsambungan secara maya, antara kedua-dua syarikat berkenaan.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Sarawak Energy Datuk Sharbini Suhaili dan CEO SESB Datuk Abdul Nasser Abdul Wahid dalam satu majlis yang turut disaksikan oleh Pengerusi SESB Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Hajiji berkata perjanjian itu juga merupakan langkah pertama yang amat penting kearah merealisasikan matlamat bersama inisiatif Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur-Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) bagi menampilkan sambungan infrastruktur dalam kalangan negara-negara Asean menerusi Asean Power Grid (APG) yang akan menambah baik tahap ekonomi semua negara terlibat.

Ketua Menteri berkata bekalan elektrik yang lebih stabil akan terus meningkatkan pelaburan tempatan dan asing selain menyokong pertumbuhan pekilangan industri dan sektor huluan, di samping mewujudkan peluang pekerjaan dalam sektor industri ringan dan berat.

Lebih penting lagi, katanya ia akan meningkatkan taraf sosio ekonomi, terutama di kawasan luar bandar.

"Menerusi perjanjian ini, kerajaan negeri berharap ia akan mengeratkan kerjasama antara Sabah dan Sarawak, di samping memupuk kerjasama lebih kukuh di masa akan datang yang akan memberikan manfaat kepada kedua-dua negeri, dan penduduknya,” katanya.

Hajiji berkata perjanjian itu selaras dengan wawasan SESB untuk menjadi syarikat bekalan tenaga yang efektif, boleh dipercayai, dan pemangkin kepada pembangunan Sabah.

-- BERNAMA

 





    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]