KUCHING, 6 Ogos -- Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan Syarikat SESCO Bhd (SESCO), subsidiari Sarawak Energy, hari ini telah membuat pencapaian penting dalam merealisasikan Grid Borneo serta Grid Tenaga ASEAN apabila menandatangani perjanjian pertukaran tenaga dan perjanjian saling sambung.
Syarikat-syarikat itu dalam satu kenyataan bersama mengumumkan kedua-dua perjanjian itu dimeterai SESB oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO) Datuk Abdul Nasser Abdul Wahid sementara Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Energy Group Datuk Sharbini Suhaili menandatangani bagi pihak SESCO dalam satu majlis maya.
"Perjanjian tersebut akan membuka laluan untuk eksport awal sejumlah 30 Megawatt (MW) tenaga selama 15 tahun melalui talian transmisi litar berkembar 275kV sepanjang 31 kilometer dari Lawas di Sarawak ke Mengalong di Sabah," katanya.
Sambungan ini dijangka bermula pada akhir 2023, melalui pengembangan grid di bawah Agenda Utara Sarawak Energy yang menghubungkan Miri dengan bandar-bandar utara seperti Limbang dan Lawas.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor serta Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menyaksikan majlis berkenaan secara maya, masing-masing dari pejabat mereka di Kota Kinabalu dan Kuching.
Pengerusi Sarawak Energy, Datuk Amar Abdul Hamed Sepawi berkata acara hari ini adalah kemuncak kerjasama dengan SESB sejak perjanjian persetujuan awal ditandatangani pada 2013, diikuti dengan kajian kebolehlaksanaan bersama yang dijalankan pada 2016 dan pemeteraian kertas tema pada tahun lepas.
Projek saling hubung ini diharapkan dapat mempelbagaikan gabungan penjanaan untuk Sabah dan Sarawak sambil meningkatkan kebolehpercayaan serta keselamatan sistem dengan berkongsi sumber penjanaan untuk Sarawak Eenergy serta Sabah Electricity.
"Projek ini juga diharapkan dapat memudahkan kerjasama ekonomi antara kedua-dua negeri, mempercepatkan transformasi tenaga boleh diperbaharui dan menyokong pertumbuhan ekonomi di Borneo,” tambahnya lagi.
Penandatanganan perjanjian itu dibuat selepas Sarawak berjaya mencatatkan kejayaan saling hubung kali pertama pada 2016 apabila ia mula mengeksport tenaga ke Kalimantan Barat di Indonesia melalui talian transmisi litar berkembar 275kV sepanjang 120 kilometer yang terbentang dari Mambong di Sarawak ke Bengkayang, Kalimantan Barat.
Sementara itu, Pengerusi Tenaga Nasional Bhd, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata talian saling hubung 275kV Sabah-Sarawak adalah projek pertama yang menghubungkan bekalan elektrik antara kedua-dua negeri bagi memantapkan bekalan elektrik seperti yang dipersetujui oleh Jawatankuasa Perlaksanaan dan Perancangan Tarif dan Bekalan Elektrik.
"Pemeteraian perjanjian tersebut adalah sangat penting serta seiring dengan Pelan Kelestarian SESB serta aspirasi Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam – Indonesia – Malaysia – Filipina (BIMP-EAGA) dan Peneraju Utiliti/Pihak Berkuasa Tenaga ASEAN (HAPUA)," kata Mahdzir, yang juga merupakan Pengerusi SESB.
-- BERNAMA
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]