Berita

Sapura Energy peroleh kontrak RM1.2 bilion di Malaysia, Thailand

Credit: www.sapuraenergy.com

KUALA LUMPUR, 21 Julai -- Sapura Energy Bhd berjaya memperoleh kontrak serta lanjutan kerja dengan nilai keseluruhannya RM1.2 bilion yang meliputi segmen kejuruteraan dan pembinaan (E&C), operasi dan penyelenggaraan (O&M) serta penggerudian di Malaysia dan Thailand.

 Bagi segmen E&C, kumpulan itu menerusi anak syarikat, Sapura Offshore Sdn Bhd, memperoleh kontrak daripada PTTEP Sarawak Oil Limited (PTTEP) dan EnQuest Petroleum Production Malaysia Ltd (EnQuest).  

Dalam kenyataannya hari ini, Sapura Energy berkata skop tugasan PTTEP termasuk pengangkutan dan pemasangan, kejuruteraan, kajian ukur serta kerja-kerja pilihan lain bagi tempoh lapan bulan bermula pada 2 Februari, 2021.

Kontrak EnQuest pula merangkumi usaha penggantian saluran paip gas sublaut berukuran 10 inci serta alat penaik.

“Kerja-kerja yang dijadual dijalankan selama lima bulan itu dijangka siap menjelang suku keempat 2021,” demikian menurut kenyataan itu.

Bagi segmen perniagaan O&M, anak syarikat iaitu Sapura Fabrication Sdn Bhd telah memperoleh kontrak daripada EnQuest, Sarawak Shell Berhad (SSB) dan Sabah Shell Petroleum Company Ltd (SSPC). 

 Kontrak yang dianugerahkan oleh EnQuest merangkumi aspek penyediaan penyelenggaraan, pembinaan dan kerja-kerja ubah suai yang menjadi sebahagian daripada lanjutan kontrak perkongsian pengeluaran.

Anugerah kontrak daripada SSB dan SSPC pula melibatkan penyediaan kerja-kerja perkhidmatan penyelenggaraan utama pelbagai projek yang terletak di luar pesisir Sabah dan Sarawak bermula 29 April, 2021 hingga 19 Ogos, 2023.

“Sepanjang tempoh tersebut, SSB dan SSPC berkemungkinan mengeluarkan arahan kerja bagi tujuan pelaksanaan kerja-kerja sebenar,” katanya.

Selain itu, Sapura Drilling Asia Sdn Bhd berjaya meraih dua kontrak Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB) membabitkan aktiviti penggerudian di luar pesisir Malaysia.

Kontrak pertama meliputi perkhidmatan pelantar penggerudian sokongan tender selama dua tahun dengan pilihan lanjutan selama dua tahun lagi, bermula pada 26 April, 2021 hingga 25 April, 2023.

Bagi kontrak, Sapura Energy terbabit dalam penyediaan dan menyiapkan perkhidmatan pelantar penggerudian bersepadu untuk enam telaga luar pesisir Malaysia dengan kerja-kerja dijangka bermula pada suku ketiga 2021.

Di Thailand, Sapura Drilling memperoleh kontrak dengan pilihan lanjutan sehingga 12 bulan bagi pelantar penggerudian Sapura T-17 oleh PTTEP Energy Development Company Ltd.

“Tempoh kontrak itu selama tiga tahun dan bermula pada 15 Oktober, 2021 hingga 15 November, 2021.

“Sapura Drilling juga menerima notis pelanjutan kontrak daripada PTT Exploration & Production dan PETTEP International Ltd,” katanya.

Setakat ini, Sapura Drilling mempunyai lapan pelantar penggerudian untuk kerja-kerja berkaitan bagi tempoh suku ketiga tahun kewangan berakhir 31 Januari, 2022 yang turut meningkatkan tahap penggunaan kemudahannya kepada 57 peratus.

-- BERNAMA




    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]