Berita

Sarawak Energy, Pestech meterai perjanjian teroka tenaga alternatif boleh diperbaharui

Dr Ng Sing Muk (top right) represented Sarawak Energy in the signing ceremony while Pestech Energy Sdn. Bhd was represented by Vind Sindhu (bottom right), witnessed by Datu Sharbini Suhaili (top left) and Paul Lim Pay Chuan (bottom left). Credit: Sarawak Energy

KUCHING, 17 Julai -- Sarawak Energy Berhad (Sarawak Energy) menandatangani perjanjian dengan Pestech International Bhd melalui anak syarikatnya Pestech Energy Sdn Bhd untuk bekerjasama dalam projek penyelidikan bagi mencari penyelesaian tenaga alternatif yang bersih untuk menggantikan penjana diesel atau penyelesaian penyimpanan tenaga berasaskan kimia lain yang sebahagian besar digunakan pada elektrifikasi di luar bandar.

Majlis menandatangani perjanjian itu diadakan secara maya pada 16 Julai dengan Pengurus Besar Penyelidikan dan Pembangunan Sarawak Energy Dr Ng Sing Muk menandatangani bagi pihak syarikat utiliti milik kerajaan negeri itu manakala Pestech Energy diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Vind Sidhu.

Ia turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Energy Group Datuk Sharbini Suhaili, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pestech International Bhd Paul Lim Pay Chuan serta pengurusan kanan dan kakitangan daripada kedua-dua syarikat.

Sarawak Energy dan Pestech International dalam kenyataan bersama memaklumkan hasil daripada projek itu juga diharapkan dapat menangani isu pelupusan bateri daripada sistem tenaga suria ketika kerajaan Sarawak meneruskan hasratnya untuk menyediakan liputan elektrik penuh di negeri ini menjelang 2025.

Di bawah perjanjian itu, Sarawak Energy dan Pestech Energy akan menjalankan kajian, reka bentuk dan membangunkan penyelesaian hidrogen autonomi boleh cas semula yang akan ditempatkan di Rumah Bangau di daerah Song selama 15 bulan sebagai inisiatif untuk meneroka potensi penyelesaian penyimpanan hidrogen untuk elektrifikasi di kawasan luar bandar.

Sementara itu, Lim dalam ucapannya semasa majlis menandatangani itu berkata Pestech akan memberi sokongan dan komitmen penuh untuk melibatkan diri, menyampaikan dan mengadaptasi inisiatif tenaga boleh diperbaharui untuk masa depan tenaga yang mampan.

“Matlamat kami melangkaui mengelektrifikasi kawasan luar bandar, tetapi juga meninggalkan kesan yang besar kepada pelbagai aspek kehidupan masyarakat, termasuk menyediakan manfaat persekitaran dan ekonomi jangka panjang,” katanya.

Dalam pada itu, Sharbini berkata kerjasama itu juga menyokong hasrat Sarawak Energy untuk menggalakkan inovasi terbuka dalam kerja-kerja penyelidikan dan pembangunan mereka.

“Dengan memupuk idea inovatif dan bekerjasama dengan pakar industri, kami percaya bahawa kami dapat membangun dan menawarkan teknologi baharu yang boleh menggantikan amalan konvensional untuk pengeluaran yang lebih besar dan mampan,” katanya.

-- BERNAMA





    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]