Berita

Malaysia miliki potensi sebagai sumber LNG boleh dipercayai Bangladesh - Mustapa



KUALA LUMPUR, 13 Julai -- Malaysia memiliki potensi untuk menjadi sumber gas asli cecair (LNG) yang terjamin dan boleh dipercayai bagi Bangladesh memandangkan negara ini mempunyai kedudukan pasaran yang kukuh sebagai antara pembekal LNG paling dipercayai dan bereputasi baik di dunia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata Malaysia berada di kedudukan keempat dunia dalam kalangan pengeksport LNG global pada 2020.

Beliau berkata berlandaskan jumlah pengeluaran LNG kira-kira 30 juta tan setahun, Malaysia bersedia untuk membekalkan LNG kepada pasaran dunia termasuk kepada Bangladesh.

“Pertumbuhan ekonomi jangka panjang Bangladesh yang positif, disokong pertambahan kelas pertengahan dalam jumlah penduduk melebihi 160 juta, akan mengembangkan permintaan terhadap tenaga kerana penggunaan tenaga di negara itu akan terus meningkat.

“Justeru, LNG berada di landasan untuk berperanan penting sebagai sumber tenaga yang lebih bersih dan lestari bagi Bangladesh. Pada masa sama, sumber LNG yang terjamin dan boleh dipercayai akan memastikan jaminan tenaga bagi Bangladesh kerana ia menyokong pertumbuhan ekonominya secara berterusan,” katanya pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) secara maya di antara Malaysia dengan Bangladesh bagi kerjasama dalam pembekalan LNG.

Mustapa berkata pemeteraian MoU tersebut menjadi bukti kepada hubungan dua hala yang saling bekerjasama dan sejak sekian lama antara kedua-dua negara.

“Prospek minyak dan gas serta sektor LNG adalah kukuh, dipacu terutama oleh penekanan terhadap peralihan tenaga dan pengurangan pelepasan karbon. Gesaan ke arah penggunaan bahan api rendah karbon dan lebih lestari akan melonjakkan permintaan LNG.

“Bagi jangka panjang, bahagian LNG dalam gabungan tenaga akan bertambah apabila kita melakukan peralihan daripada arang batu kepada sumber tenaga yang lebih lestari. Sudah tiba masanya pasaran memanfaatkan peluang dalam sektor gas sebelum persaingan daripada tenaga boleh baharu bertambah sengit,” katanya.

Beliau berkata dari segi hubungan perdagangan dua hala, Bangladesh merupakan rakan dagang kedua terbesar Malaysia dalam kalangan negara Asia Selatan.

Perdagangan di antara Malaysia dengan Bangladesh mencatatkan kira-kira US$1.43 bilion tahun lepas, berkurangan daripada US$2.58 bilion yang dicatatkan pada 2019 susulan kesan pandemik.

Sementara itu, jumlah import Malaysia dari Bangladesh bernilai US$207 juta manakala jumlah eksport ke Bangladesh bernilai US$1.23 bilion.

“Hubungan antara rakyat pula adalah kukuh, contohnya kira-kira 400,000 pekerja dan profesional Bangladesh telah diberikan permit lawatan kerja sementara untuk bekerja dalam pelbagai sektor di Malaysia, sekali gus menyumbang kepada pembangunan kedua-dua negara,” katanya.

Mustapa turut yakin MoU itu akan membawa perkongsian antara kedua-dua negara kepada satu lagi langkah ke hadapan yang penting.

“Marilah kita berharap kontrak pembekalan ini dapat dimuktamadkan dalam tempoh terdekat selepas pemeteraian MoU hari ini. Malaysia berharap dapat memperkukuh lagi kerjasama dengan Bangladesh bukan hanya dalam sektor tenaga malah semua sektor ekonomi dan sosial lain,” katanya.

-- BERNAMA





    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]