Berita

ESTCON 2020 buka peluang dialog strategik mengenai sektor pendidikan tinggi



KUALA LUMPUR, 13 Julai -- Kongres terbesar dunia - Kongres Kejuruteraan, Sains dan Teknologi Dunia (ESTCON) 2020 - membuka peluang untuk ahli akademik dan pemain industri menyertai dialog strategik mengenai cabaran dihadapi sektor pendidikan tinggi, di tengah-tengah amalan kebiasan baharu berikutan pandemik COVID-19.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata kongres itu juga memberi peluang untuk membuka jalan baharu bagi kerjasama yang memanfaatkan pengetahuan dan kepakaran sektor lain bertujuan untuk menginovasikan penyelesaian baharu.

“Adalah penting buat ahli akademik dan pemain industri menyertai dialog strategik secara serius mengenai cabaran yang dihadapi pendidikan tinggi, dalam kongres tiga hari yang bermula hari ini hingga 15 Julai.

“Ini adalah masa bagi cabaran yang besar, tetapi juga satu daripada kemungkinan yang luar biasa. Dan berdasarkan kemungkinan itu, tiada organisasi yang dikecualikan daripada keperluan dan keinginan untuk berinovasi,” katanya ketika berucap pada kongres itu di sini hari ini.

Beliau memuji Universiti Teknologi Petronas (UTP) kerana menganjurkan kongres berkenaan secara dalam talian yang mengumpulkan lebih 1,000 pakar daripada pelbagai bidang penyelidikan, inovasi dan pengkomersialan dari kira-kira 30 negara.

Noraini berkata kementerian mendukung konsep quadruple helix yang mana kerjasama perlu dijalin dan dikekalkan antara universiti, industri, kerajaan dan masyarakat.

Beliau turut menyeru kolaborasi untuk meningkatkan usaha Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan mewujudkan hubungan daripada sekolah rendah ke universiti dan industri.

“Dalam menjadikan negara kita membangun sepenuhnya, saya menggesa universiti dan industri menyokong usaha kerajaan serta menyokong dan memperjuangkan pendidikan STEM.

“Menerusi kongres seperti ESTCON ini, semua pihak dapat bersidang untuk bertukar idea dan pandangan dalam merealisasikan aspirasi untuk masa hadapan yang mampan,” katanya.

Bertemakan ‘Sains, Teknologi dan Kemanusiaan: Penciptaan Semula Masa Hadapan’, ESTCON 2020 yang memasuki edisi keenam itu merangkumi pelbagai bidang dalam inovasi kejuruteraan dan teknologi serta kemanusiaan dengan sembilan persidangan antarabangsa diadakan serentak.

Naib Canselor UTP merangkap Pengerusi ESTCON2020 Prof Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib berkata sembilan persidangan yang diadakan itu selaras dengan objektif UTP untuk menjadi pemimpin dalam pendidikan teknologi dan pusat kreativiti dan inovasi.

Beliau berkata kongres itu membolehkan universiti memulakan sempadan baharu, kajian rintis, mewujudkan teknologi baharu dan memperkenalkan penyelesaian dan kaedah yang inovatif untuk pembangunan lestari yang akan memanfaatkan masyarakat.

Antara persidangan yang diadakan ialah Persidangan Antarabangsa mengenai Kejuruteraan dan Teknologi Minyak dan Gas (ICOGET2020) dan Persidangan Antarabangsa mengenai Kejuruteraan Awam, Luar Pantai dan Alam Sekitar (ICCOEE2020).

-- BERNAMA





    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]