Google photo
KUALA LUMPUR, 11 Julai -- Perkongsian antara industri dan ahli akademik kini semakin menjadi platform dan medan ujian penting untuk menggabungkan idea bagi memangkinkan inovasi yang akan memberi manfaat kepada masyarakat secara umumnya.
Bagi Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), kerjasama mereka dalam tenaga hidrogen telah menuai hasil positif sejak kerjasama itu bermula pada Julai 2019.
Kedua-dua pihak sedang mengkaji pengeluaran hidrogen daripada air menerusi teknologi elektrolisis, merangkumi lima bahagian iaitu reka bentuk plat bipolar, pemasangan elektrod membran, bahan pelapis, bahan binaan dan ekonomi bidangan.
Hasilnya setakat ini? reka bentuk electrolyser -- reka bentuk plat bipolar yang dicipta oleh pasukan kerjasama tersebut -- telah difailkan bagi paten pada November tahun lepas.
Reka bentuk itu menghasilkan hidrogen yang lebih baik dengan penggunaan kuasa rendah, kemajuan yang dialu-alukan dalam menjadikan sumber tenaga hijau ini pilihan yang kos efektif bagi pengguna.
Dua harta intelektual lain sedang dibangunkan dan bakal dipatenkan.
AHLI AKADEMIK-INDUSTRI PEMANGKIN BAGI PERTUMBUHAN TEKNOLOGI
Timbalan Pengarah Institut Sel Fuel UKM, Prof Madya Dr Mohd Shahbudin Mastar@Masdar berkata libat urus antara ahli akademik dan industri adalah kriteria utama untuk memangkinkan kreativiti, inovasi dan pertumbuhan teknologi.
Beliau berkata ahli akademik menumpukan kepada membina pengetahuan baharu menerusi penyelidikan mereka, manakala industri sering menyasar untuk menangani penyelesaian yang mempunyai nilai komersial dalam tempoh jangka pendek.
“Oleh itu, gabungan tersebut boleh menghasilkan pembangunan penerokaan baharu yang dipercepatkan.
“Kerjasama ini menyediakan manfaat besar kepada universiti, industri, masyarakat serta negara,” kata Mohd Shahbudin, yang juga merupakan salah seorang peneraju projek UKM.
Perkongsian Petronas-UKM itu merupakan satu daripada rangkaian lebih daripada 15 kerjasama Petronas dengan universiti Malaysia dan universiti asing.
Setiap institusi ini menawarkan kepakaran khusus dan keupayaan terbaik dalam kelasnya yang tersendiri dan memacu kemajuan teknologi bagi menyokong teknologi dalam keseluruhan kumpulan Petronas dan agenda kelestariannya.
ASPIRASI KE ARAH SIFAR BERSIH PELEPASAN KARBON MENJELANG 2050
Perkongsian itu juga sejajar dengan sasaran Petronas mencapai Sifar Bersih Pelepasan Karbon menjelang 2050.
Malah, seiring usaha dunia menerimaguna peralihan tenaga, Petronas turut melihat hidrogen sebagai masa depan hijau yang berpotensi besar.
Menurut syarikat minyak dan gas negara, potensi meluas tersebut berkait rapat dengan ciri-ciri hidrogen seperti unsur paling ringan berbanding gas lain, antara unsur terkecil serta terdapat dalam kuantiti banyak dalam alam semesta.
Ia juga percaya hidrogen mampu muncul sebagai sumber tenaga sifar karbon yang dapat memacu serta menjana dunia secara lebih hijau jika dihasilkan dari segi ekonomi.
Petronas turut melihat hidrogen sebagai sumber bagi penghasilan petrokimia ‘hijau’ selain penyahkarbonan dalam operasinya yang sedia ada.
Kepakaran UKM dan digabungkan dengan pengetahuan perindusrian dimiliki oleh Petronas, ternyata menjadi pemangkin syarikat tersebut dalam usahanya menjadi penyedia penyelesaian hidrogen hijau secara menyeluruh yang kompetitif.
Perkongsian Petronas-UKM itu meliputi beberapa projek yang dilaksanakan secara berperingkat.
Malah, UKM turut komited terhadap kerjasama ini dan bertindak melantik Prof Datuk Ir Dr Wan Ramli Wan Daud daripada Institut Sel Fuel sebagai profesor tenaga hidrogen mampan bagi meneruskan kesinambungan projek tersebut.
Harta intelektual pertama yang dihasilkan daripada reka bentuk electrolyser dan terbukti di peringkat makmal, juga berpotensi besar dan disasarkan dapat mencatat lebih banyak kejayaan di masa akan datang.
Sejajar dengan usaha itu, sebuah fasiliti atau kemudahan pengujian pengeluaran hidrogen hijau telah diwujudkan di Petronas Research Sdn Bhd (PRSB).
Fasiliti itu berperanan untuk menjalankan operasi, penilaian serta penambahbaikan electrolyser rekaan pasukan terbabit yang mana prestasi itu dibandingkan dengan versi komersial di pasaran bagi mendorong penghasilan hidrogen hijau yang cekap kos.
Sistem berkenaan direka bagi menghasilkan kira-kira 70 kilogram hidrogen bersih sehari.
HIDROGEN DALAM KILANG BIOPEMPROSESAN
Hidrogen yang dihasilkan daripada fasiliti itu kini digunakan oleh kilang biopemprosesan, makmal dan sebagai sel bahan api hidrogen bagi penjanaan kuasa kenderaan bugi dan peranti dron hidrogen di PRSB -- sekali gus membuktikan antara inisiatif lain yang memaparkan pelbagai potensi sumber tenaga hijau ini.
Pada April lepas, pasukan terbabit telah berjaya mengubah bugi berkuasa bateri kepada jenis yang dijana oleh sel bahan api.
Ketua Pegawai Teknologi Petronas Dr Nasir Darman menyifatkan kemajuan bermakna yang dicapai oleh pasukan bersama itu sebagai bukti dedikasi dan komitmen untuk mengetengahkan tenaga hijau secara teknologi bagi kegunaan global.
“UKM sentiasa memberi sumbangan dalam aspek kemajuan teknologi merangkumi tenaga boleh diperbaharui dan hijau.
“Menerusi kepakaran, kemampuan dan kredibiliti mereka, kami berbesar hati dengan penyertaan UKM sebagai rakan strategik untuk mengetengahkan penyelesaian mampan serta berharap ini akan mencatat lebih banyak kejayaan secara bersama,” katanya.
-- BERNAMA
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]