Berita

Serba Dinamik catat keuntungan bersih RM113 juta

Serba Dinamik group managing director and chief executive officer Datuk Dr Mohd Abdul Karim Abdullah

KUALA LUMPUR, 25 Jun  --  Serba Dinamik  Holdings Bhd mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM113.32 juta bagi suku berakhir 31 Mac 2021 selepas dipacu oleh hasil sebanyak RM1.38 bilion berikutan aktiviti kukuh daripada segmen operasi serta penyelenggaraan (O&M) termasuk kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC). 

Kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata segmen O&M dan EPCC masing-masing menyumbang 90.5 peratus dan 7.2 peratus. 

Penyedia perkhidmatan minyak dan gas itu berkata tidak ada perbandingan maklumat kewangan yang tersedia untuk tempoh kewangan terkait disebabkan perubahan tahun kewangannya kepada 30 Jun berbanding 31 Disember pada 7 Mei lepas.

Penyata kewangan yang telah diaudit seterusnya akan tersedia bagi tempoh 18 bulan mulai 1 Jan 2020 hingga 30 Jun 2021 dan selepas itu, tahun kewangan terakhir akan dicatatkan menjelang 30 Jun untuk setiap tahun berikutnya. 

Jumlah dividen bagi tempoh kewangan berakhir 31 Mac 2021 adalah 5.45 sen sesaham biasa. 

Dalam kenyataan berasingan, Pengarah Urusan Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Dr Mohd Abdul Karim berkata walaupun penyumbang teras pendapatan syarikat kekal melalui segmen O&M serta EPCC, ia secara agresif sedang mengembangkan perniagaan ICT di dalam dan luar negara.

"Pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini telah mendorong  Serba Dinamik  untuk berkembang dan meneroka sektor strategik ekonomi," katanya. 

Syarikat itu proaktif dalam mengejar peluang baharu di bidang bukan minyak dan gas, malah baru-baru ini, ia telah meneroka peluang dalam industri angkasa lepas, yang mana ia mahu mengembangkan dan meningkatkan keupayaan teras dalam kejuruteraan bernilai tinggi ke dalam industri berkenaan.

Kumpulan itu juga telah memasuki ke dalam pasaran Amerika Syarikat melalui penajaan syarikat pemerolehan tujuan khas (SPAC), Data Knights Acquisition Corp, yang sedang berada dalam kedudukan terbaik bagi mendapat manfaat daripada potensi pulangan sebagai peserta awal.

Pada penutup hari ini, saham  Serba Dinamik  merosot 23.36 peratus kepada 41 sen dengan 485.65 juta saham bertukar tangan.

-- BERNAMA




    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]