Berita

Serba Dinamik kekal relevan, penstrukturan organisasi akan dibuat jika perlu - Pengarah Urusan



Oleh Zairina Zainudin

KUALA LUMPUR, 25 Jun  -- Operasi harian penyedia perkhidmatan kejuruteraan bersepadu global,  Serba Dinamik  Holdings Bhd, masih berjalan seperti biasa dan kekal relevan sebagai sebuah syarikat Bumiputera yang utuh walaupun sedang diselubungi cabaran cukup getir.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Dr Mohd Karim Abdullah mengakui isu juruaudit luaran memerlukan tumpuan pihak pengurusan, tetapi setiap cabang perniagaan kumpulan syarikat tetap fokus kepada peranan masing-masing.

“Dalam keadaan sekarang, perniagaan kekal terus berjalan dan  Serba Dinamik  masih tetap komited dalam memberi pulangan dividen kepada para pemegang saham,” katanya kepada Bernama hari ini.

Bagaimanapun, Mohd Karim tidak menolak kemungkinan akan ada perubahan struktur organisasi kumpulan dalam memastikan tadbir urus korporat diperkukuhkan mengikut prinsip Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia.

Beliau berkata  Serba Dinamik  juga sedang dalam perbincangan dengan beberapa bank antarabangsa untuk mendapatkan pinjaman perniagaan agar setiap perancangan dapat dilaksanakan.

“Perniagaan harus mempunyai beberapa langkah ke hadapan bagi menyediakan modal perniagaan dan buat waktu ini, kami telah mengadakan beberapa perbincangan bersama bank antarabangsa bagi penyediaan modal kerja,” ujarnya.

Menurutnya, syarikat-syarikat yang berada di bawah kumpulan  Serba Dinamik  tetap mempamerkan perkembangan menarik dalam setiap cabang perniagaan mereka di dalam dan luar negara.

Beliau berkata perniagaan pengeluar peralatan asal (OEM) terus relevan hari ini didorong terutamanya oleh kenaikan harga minyak mentah dunia pada AS$70 setong.

“Ia memberi margin tinggi dengan unjuran sebanyak 17 peratus berbanding pemain lain dalam pasaran huluan minyak dan gas. Inilah tinjauan sektor, khususnya perniagaan berteras OEM adalah cukup memberangsangkan,” katanya.

Selain itu, Mohd Karim berkata penerokaan  Serba Dinamik  dalam ekonomi aeroangkasa berjalan mengikut jadual dan bakal menubuhkan anak syarikat baharu untuk menceburi industri angkasa.

Menurutnya, anak syarikat itu akan menguruskan penglibatannya dalam industri tersebut melalui peningkatan kapasiti dan perkongsian dengan pelbagai agensi serta pemain antarabangsa.

Pada Mac lalu,  Serba Dinamik  mengumumkan kerjasama dengan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) untuk memperkukuh lagi perkembangan ekonomi dan industri aeroangkasa di Malaysia.

Dalam pada itu, MYSA turut mengambil inisiatif melalui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk memperkenalkan Rang Undang-Undang (RUU) Lembaga Angkasa Malaysia 2020 yang dibentangkan untuk bacaan pertama tahun lalu.

Mohd Karim berkata, rancangan  Serba Dinamik  untuk menceburkan diri dalam ekonomi aeroangkasa adalah bertujuan untuk menghubungkan teknologi maklumat dan komunikasi.

Ini kerana, jelasnya, ia merupakan salah satu kecekapan teras dalam syarikat menerusi penyambungan internet ke kawasan, khususnya yang masih tidak mempunyai sambungan internet di negeri yang dibekalkan atau tidak dibekalkan teknologi satelit.

"Ini penting untuk menyokong pelbagai inisiatif syarikat mengenai jurang teknologi yang memerlukan sambungan jalur lebar dan internet untuk merealisasikan penggunaannya," tambahnya.

Menurutnya, penyediaan kemudahan dan infrastruktur itu secara tidak langsung membuka pasaran lebih besar untuk industri berkaitan di bawah Revolusi Industri Keempat (IR4.0).

 Serba Dinamik  juga telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan SWISSto12, yang merupakan pakar dalam teknologi pembuatan komponen untuk digunakan dalam satelit melalui percetakan 3D berpusat di Switzerland.

Melalui kerjasama itu, katanya, syarikat tersebut akan meningkatkan kemampuannya dalam bidang kejuruteraan bernilai tinggi yang diperlukan untuk menyokong ekonomi aeroangkasa.

-- BERNAMA




    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]