Berita

Sarawak Energy hantar genset tambahan untuk stabilkan bekalan kuasa di Limbang



KUCHING, 24 Jun -- Sarawak Energy Berhad (SEB) telah menghantar genset tambahan ke Limbang dalam usaha menstabilkan bekalan kuasa di daerah utara negeri itu sementara menunggu kerja pembaikan sesetengah genset sedia ada yang rosak selesai.

Naib Presiden Peruncitan SEB Yusri Safri berkata dua set genset 1500 kilowatt (kW) telah dihantar dari Kuching bagi menyokong beban permintaan di Limbang dan berfungsi sebagai bekalan tambahan serta tambahan kepada set genset mudah alih Satu Megavolt ampere (MVA) yang dihantar dari Miri baru-baru ini.

“Kami sedang berusaha untuk menstabilkan bekalan secepat mungkin… sejak isu ini pertama kali direkodkan pada Mei dan kami amat kesal dengan kesulitan yang dialami oleh penduduk Limbang akibat gangguan bekalan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kerja pembaikan genset yang rosak sedang dijalankan dan satu daripadanya dijangka kembali berfungsi selewat-lewatnya Jumaat ini bagi memulihkan bekalan seperti biasa di Limbang menjelang akhir bulan manakala satu lagi akan kembali berfungsi dalam tempoh tiga minggu kerana masih menunggu penghantaran alat ganti.

“Sekatan semasa di bawah Perintah Kawalan Pergerakan ditambah pula dengan laluan panjang merentasi sempadan antarabangsa (Malaysia-Brunei) untuk ke Limbang telah melewatkan kerja pembaikan namun kami kekal komited untuk memenuhi keperluan bekalan elektrik di daerah itu,” katanya.

Gangguan bekalan dialami di beberapa bahagian di daerah itu selepas genset terbabit rosak manakala set yang berfungsi dan telah mencapai kapasiti maksimum dan berdepan kemungkinan tidak dapat menampung permintaan pada waktu puncak terutama ketika cuaca panas.

Yusri berkata daerah itu akan dihubungkan dengan Projek Penyambungan Grid Utara yang akan menjadi penyelesaian jangka panjang untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat di kawasan tersebut dan kerja-kerja telah dilakukan meskipun berdepan cabaran situasi COVID-19.

Beliau berkata di bawah projek ini, Limbang akan dihubungkan dengan loji janakuasa utama Sarawak melalui grid itu dan tidak lagi bergantung kepada penjanaan diesel dengan pengoperasian substesen Limbang Town Extra High Voltage 275/33/11kV, yang disasar siap pada 2023.

“Penyambungan grid itu dirancang untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat kerana kawasan di bahagian Limbang terus berkembang dengan perbandaran, perniagaan dan perumahan baharu,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 




    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]