Berita

KPower gegarkan pasaran tenaga dan solar global

Kumpulan Powernet Bhd's (KPower)

KUALA LUMPUR, 19 Jun -- Kumpulan Powernet Bhd (KPower) telah berjaya berkembang di pasaran domestik dan global dalam masa yang singkat terutama sekali dalam sektor tenaga boleh diperbaharui, kata Pengarah Urusan dan Timbalan Pengerusi Kumpulan Mustakim Mat Nun.

Menurutnya, syarikat berada di landasan yang betul dan disokong oleh prospek pertumbuhan yang cerah.

Sehingga kini, KPower telah memenangi beberapa projek besar dalam industri tenaga dan solar di pasaran antarabangsa.

“Setakat ini, kami berjaya meraih lebih 50 peratus kontrak melalui tender terbuka dengan nilai melebihi RM2 bilion daripada jumlah tender dibida yang bernilai lebih RM4 bilion.

“Jumlah tender yang dimenangi ini adalah daripada pasaran domestik dan antarabangsa iaitu Nepal, Indonesia serta Laos. Tender yang dibida turut melibatkan bidaan di Timur Tengah sebagai strategi penembusan pasaran ke rantau berkenaan,” jelas Mustakim.

Dengan pertumbuhan yang memberangsangkan dan prospek yang cerah, KPower berjaya menarik minat pelabur melalui permintaan global bagi sektor tenaga boleh diperbaharui.

Walaupun pasaran dan ekonomi kini dalam keadaan yang tidak seimbang, KPower telah berjaya merangka semula perniagaannya dengan menceburi segmen perniagaan baharu untuk menjana aliran pendapatan yang mampan, selain memajukan perniagaan sedia ada.

Dalam masa hanya beberapa tahun, KPower berjaya mempelbagaikan aliran pendapatannya melalui empat segmen perniagaan utama iaitu tenaga dan utiliti, pembangunan hartanah, logistik serta industri kesihatan dan teknologi, katanya.

Kejayaan KPower disokong oleh barisan pengurusan profesional yang berpengalaman luas dalam pengurusan projek dan pelaksanaan, aktiviti pembinaan dan pelaburan terutamanya dalam sektor utiliti dan tenaga boleh diperbaharui.

KPower memulakan model pemilikan aset tunggalnya apabila disenarai pendek bagi projek Solar Berskala Besar keempat (LSS4) untuk pembangunan loji fotovolta solar (PV) 50MW di Pahang, Malaysia.

Kemenangan projek kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pengoperasian (EPCC) sebanyak RM475 juta baru-baru ini adalah projek kuasa hidro pertama di Pahang, Malaysia bagi syarikat itu.

KPower turut memperoleh projek bernilai RM2.37 bilion di seluruh Malaysia, Laos, Indonesia dan Nepal sejak Jun 2019.

Melalui kejayaan ini, KPower telah mengukuhkan prestasi kewangannya melalui segmen perniagaan baharunya.

Syarikat merekodkan peningkatan dalam perolehan sebanyak 334 peratus tahun ke tahun pada suku ketiga tahun kewangan 2021 dengan keuntungan melonjak 432 peratus tahun ke tahun dalam tempoh yang sama.

Keputusan memberangsang ini didorong oleh aktiviti berkaitan pembinaan terutamanya tapak projek sedia ada, permulaan kerja-kerja di Indonesia dan sumbangan daripada projek-projek berdasarkan pesanan di Malaysia dan luar negara.

KPower sentiasa aktif meneroka dalam peluang perniagaan baharu melalui penggabungan dan pengambilalihan yang berpotensi untuk meningkatkan prospek perniagaan.

Daripada sasaran buku pesanan bernilai RM2.0 bilion untuk tahun kewangan 2021, projek bernilai RM1.158 bilion sudah dimenangi sehingga kini (YTD).

Setakat 20 Mei 2021, KPower merekodkan buku pesanan tertunggak sebanyak RM1.9 bilion.

-- BERNAMA





    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]