Berita

Serba Dinamik kekal syarikat utama minyak dan gas penting dalam pasaran antarabangsa 



Oleh Azman Ujang

KUALA LUMPUR, 8 Jun -- Walaupun sedang menghadapi pergolakan pasaran yang amat mencabar, syarikat gergasi Malaysia dalam sektor minyak dan gas,  Serba Dinamik  Holdings Bhd masih kukuh dengan prospek pertumbuhan yang baik bagi tahun-tahun akan datang, menurut pemerhati industri.

Syarikat itu bukan sahaja memainkan peranan penting dalam industri, malah banyak perkhidmatannya dianggap kritikal bagi operasi yang dijalankan oleh pelbagai pemain industri minyak dan gas dalam pasaran antarabangsa.

Seorang pemerhati industri berkata kepada Bernama, sebarang gangguan kepada perkhidmatan  Serba Dinamik , bukan hanya kepada pelanggan tempatan malah pasaran antarabangsa, boleh menjejaskan banyak operasi projek minyak dan gas di seluruh dunia.

Ini dibuktikan melalui aset terbesar syarikat, iaitu pengalaman luas dan kehadirannya yang kukuh di 20 negara, disokong oleh tenaga kerjanya sebanyak 2,000 orang merentasi semua segmen operasi, dengan pangkalan vendor dan pembekal berjumlah 770 syarikat.

Tidak banyak syarikat bumiputera mencapai tahap kejayaan dalam industri minyak dan gas yang amat kompetitif dalam tempoh yang begitu singkat seperti  Serba Dinamik , kata pemerhati itu.

Minggu lepas,  Serba Dinamik  digemparkan dengan berita berkaitan isu audit Laporan Kewangan 2020 oleh juruaudit luar mereka, KPMG.

Seorang sumber dalaman  Serba Dinamik  mengesahkan, syarikat itu tetap memberi tumpuan penuh kepada operasinya dan sangat positif mengenai prospek pertumbuhan masa depan.

“Walaupun menghadapi pelbagai cabaran pasaran, asas dan prospek syarikat kekal utuh. Asas perniagaan dan perkhidmatan  Serba Dinamik  masih kuat.

“Kami komited terhadap kesinambungan operasi perniagaan syarikat ini. Sokongan daripada pelanggan dan pembekal kami amat menggalakkan. Malah, ia semakin berkembang,” kata sumber itu.

Syarikat tersebut ditubuhkan pada 1993 oleh pengasasnya Datuk Dr Mohd Abdul Karim Abdullah dengan pusat servis pertamanya di Bintulu, Sarawak menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) untuk peralatan berputar. 

Ia berkembang pesat dalam tempoh dua dekad selepas itu dan disenaraikan di Pasaran Utama, Bursa Malaysia pada 2017.

Sumber itu berkata  Serba Dinamik  telah mendapat kepercayaan dan penghormatan daripada pemain-pemain industri lain. di samping menambah baik prestasinya dari sudut ekonomi operasi dan harga perkhidmatan.

Ini dijangka membawa kepada peluang perniagaan yang lebih besar, khususnya pertumbuhan dalam sektor-sektor lain seperti teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). 

Ini jelas terbukti dengan pertumbuhan projek-projek  Serba Dinamik  pada tahun lepas walaupun mengharungi keadaan pandemik yang tidak menentu.

Beberapa pencapaian  Serba Dinamik  pada 2020 termasuk kemenangan dua projek kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) di Abu Dhabi dengan nilai kontrak dianggarkan berjumlah US$1.78 bilion. 

Ia juga memperoleh TR Yard daripada Petronas Assets Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Petroliam Nasional Bhd dan telah menyiapkan pembinaan Hab Tenaga Bersepadu Bintulu (BIEH) di Kidurong, Bintulu.

 Pada tahun yang sama ia memperoleh dua kontrak ICT untuk melaksanakan platform digital di Zambia bernilai RM529.63 juta dan memeterai Memorandum Persefahaman (MOU) dengan Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd.

Ia juga memperoleh kontrak  Serba Dinamik  Education Sdn Bhd (dahulunya dikenali sebagai Prestariang Education Sdn Bhd).

Sumber itu berkata walaupun sedang mengalami isu yang timbulkan oleh audit luaran mereka, syarikat itu kini sedang berusaha untuk menanganinya dan mencari jalan penyelesaian bagi kepentingan pihak pemegang saham dan juga pihak berkepentingan lain. 

“Pastinya pihak  Serba Dinamik  sedang mencari langkah terbaik untuk menangani isu ini dan apa yang penting setiap keputusan harus mengambil kira pelbagai perspektif demi kebaikan para pemegang saham dan juga pihak berkepentingan lain,” kata sumber itu.

 Serba Dinamik  juga tidak ketinggalan memainkan peranan tanggungjawab sosial korporat ((CSR) dengan pemberian bantuan segera bernilai hampir RM5 juta kepada golongan yang memerlukan untuk memerangi pandemik COVID-19 dalam bentuk sumbangan peralatan perlindungan diri (PPE) dan makanan.

Selain program CSR di dalam negara,  Serba Dinamik  juga sangat aktif memberi bantuan di pelbagai lokasi antarabangsa, termasuk di Indonesia, New Guinea dan Senegal dalam usaha memerangi penularan COVID-19.

 Serba Dinamik  akan meneruskan aktiviti-aktiviti CSR berkaitan dengan COVID-19. Banyak program yang dirancang bagi tempoh Jun hingga Disember 2021.

“Ini termasuk bantuan kecemasan untuk rakyat Palestin menerusi mengumpul bantuan daripada semua kakitangan  Serba Dinamik  di seluruh Malaysia yang akan disalurkan ke beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Malaysia,” katanya.

 Serba Dinamik  juga akan menderma tablet untuk tujuan pendidikan bagi para pelajar yang perlu menjalani pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian di rumah di samping mengagihkan keperluan penting kepada golongan yang paling memerlukan dan terkesan, terutama kalangan miskin dan penduduk di kawasan setinggan dan Program Perumahan Rakyat (PPR).

-- BERNAMA

 





    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]