Berita

Ranhill susun semula strategi perniagaan, kepentingan Hamdan & PAC akan naik kepada 46.83 peratus



KUALA LUMPUR, 11 Mei -- Ranhill Utilities Bhd bercadang untuk mengambil alih kepentingan dalam dua syarikat sejajar dengan matlamat pengembangan perniagaan dan strategi pertumbuhan untuk mempelbagaikan aliran pendapatannya dalam perniagaan lain dengan prospek yang baik untuk melengkapi perniagaan sedia ada.

Langkah itu juga untuk mengurangkan risiko bergantung kepada perniagaan semasa, katanya.

Antara cadangan yang dimaklumkan kepada Bursa Malaysia hari ini ialah Perjanjian Jualan Saham (SSA) yang dimeterainya dengan Ranhill Bhd untuk mengambil alih 100 peratus daripada Ranhill Bersekutu Sdn Bhd (RBSB) dengan nilai RM93.87 juta, yang akan dijelaskan melalui terbitan 98.81 juta saham biasa baharu dalam Ranhill Utilities pada harga terbitan RM0.95 sesaham.

Ranhill Utilities turut menandatangani SSA dengan Ranhill Group Sdn Bhd (RGSB) untuk mengambil alih 4.48 juta saham atau 51 peratus kepentingan dalam Ranhill Worley Sdn Bhd (RWSB) dengan nilai RM117.95 juta, yang akan dijelaskan melalui 124.164 juta saham Ranhill Utilities baharu pada harga terbitan yang sama.

Pengambilalihan itu dijangka selesai pada suku ketiga 2021.

“Selepas selesai SSA, Lembaga Pengarah menjangka cadangan pengambilalihan itu berpotensi menyumbang 25 peratus atau lebih daripada keuntungan bersih Ranhill Group,” katanya.

“Selain itu, kedua-dua syarikat (RBSB dan RWSB) akan menjadi tambahan yang tidak ternilai dan pelengkap kepada bahagian air dan tenaga kumpulan, selain mengambil peluang daripada galakan kerajaan Malaysia yang berterusan dengan dasarnya yang menyokong pembangunan tenaga boleh diperbaharui seperti solar, hidro dan biojisim,” katanya.

RBSB, yang diperbadankan pada 1981, mempunyai rekod operasi yang panjang terutamanya dalam sektor rawatan air dan air sisa di Malaysia dan Asia Tenggara.

Sementara itu, RWSB mempunyai perjanjian usaha sama selama 25 tahun dengan Worley Australia (pemegang saham 49 peratus). Ini membolehkan RWSB memanfaatkan keupayaan dan teknologi daripada peralihan dan sektor tenaga baharu seperti biojisim, struktur ladang angin dan sistem penyimpanan untuk tenaga boleh diperbaharui daripada Worley Australia.

Ranhill Utilities berkata selepas selesai pengambilalihan itu, kepentingan yang dipegang oleh Tan Sri Hamdan Mohamad atau mana-mana pihak yang bertindak bersama (PAC) dengannya akan meningkat kepada 46.83 peratus daripada 35.78 peratus. 

“Berdasarkan perkara di atas dan menurut cadangan pengambilalihan itu, Hamdan dan PAC yang berkaitan berhasrat untuk mendapatkan pengecualian daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia daripada kewajipan untuk melaksanakan tawaran pengambilalihan mandatori,” katanya.

Mengenai masa depan, Ranhill Group akan meneruskan perniagaan sedia ada dalam perniagaan air dan tenaga yang telah memberikannya perolehan dan pendapatan yang stabil berikutan kontrak jangka panjang dan lesen yang boleh diperbaharui untuk segmen tersebut.

Ranhill Group turut menjangka prospek segmen ini sebagai menggalakkan berdasarkan permintaan yang berterusan terhadap air dan tenaga.

“Terdapat peluang untuk kumpulan dengan Program Pengurangan Air Bukan Hasil Negara di bawah Rancangan Malaysia Ke-11, yang akan melibatkan penggantian paip lama sepanjang 41,560 km dengan peruntukan sebanyak RM1.39 bilion di bawah program itu.”

-- BERNAMA

 

 

 

 


 





    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]