Berita

Scbuild rancang labur sehingga RM13.5 bilion dalam perniagaan tenaga boleh diperbaharui dalam tempoh 10 tahun



PETALING JAYA, 28 April -- SC Estate Builder Bhd (SCBuild) merancang untuk melabur antara RM9 bilion dan RM13.5 bilion dalam tempoh 10 tahun berikutan ia menceburi perniagaan tenaga boleh diperbaharui (RE) di Malaysia terutamanya dalam loji tenaga solar dan tenaga solar di atas bumbung.

Pengerusi dan Pengarah Urusan Alex Loh Boon Ginn berkata pada masa ini, sebanyak 90 peratus daripada pendapatan syarikat adalah daripada segmen pembinaan dan baki daripada perniagaan bahan binaan.

“Kami optimis terhadap prospek kumpulan pada tahun akan datang dengan pengembangan kepada perniagaan RE dan menyasarkan perniagaan itu akan menyumbang 30 hingga 40 peratus kepada pendapatan kami dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Usaha ini sejajar dengan aspirasi kumpulan untuk membantu Malaysia mencapai Negara Jejak Rendah Karbon atau sifar bersih pelepasan karbon menjelang 2050,” katanya pada taklimat media di sini hari ini.

Loh berkata anak syarikat kumpulan itu, SC Estate Energy Sdn Bhd telah mendapat kelulusan daripada Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) untuk disenaraikan di bawah Direktori Pelabur PV Solar Berdaftar pada 27 Jan.

SCBuild kini dalam proses mengambil pekerja teknikal yang bersesuaian bagi mempersiapkan syarikat untuk memohon dan mendapatkan lesen untuk kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pengoperasian (EPCC) daripada SEDA dan Suruhanjaya Tenaga (ST), katanya.

“Kami berharap untuk mendapat lesen tersebut pada akhir tahun ini bagi membolehkan kami menjalankan perniagaan RE sepenuhnya,” katanya.

Mengenai pelaburan besar yang ingin dilakukan oleh kumpulan itu untuk perniagaan RE, beliau berkata syarikat pembinaan tersebut berhasrat untuk mengumpul modal melalui stok pinjaman atau terbitan bon untuk memulakan projek selama 10 tahun itu.

Beliau berkata SCBuild merancang untuk membina loji tenaga solar dengan kapasiti 2,000-3,000 Megawatt (MW) dalam tempoh 10 tahun secara berperingkat dengan 200 hingga 300 MW akan dibina setiap tahun.

Loh berkata syarikat kini dalam perbincangan dengan kerajaan untuk memperuntukkannya dengan tanah seluas 3,642 hektar bagi membina loji tenaga solar itu.

“Pelaburan dan pembangunan akan dilakukan secara berperingkat berikutan kami juga perlu mendapatkan pajakan tanah daripada kerajaan.

“Pada awalnya, projek ini akan dibina di wilayah utara - Kedah dan Perlis - berikutan negeri ini menerima tenaga cahaya matahari yang tinggi, sesuai untuk penjanaan tenaga solar,” katanya.

Selain itu, Loh berkata kumpulan turut merancang untuk membina 2,000 hingga 3,000 unit rumah mampu milik dengan tenaga solar di atas bumbung dalam tempoh 10 tahun.

Rumah tersebut dijangka berharga daripada RM300,000 dengan projek awal dalam perancangan untuk membina 500 unit rumah di Kedah dengan kos pembangunan kasar sebanyak RM150 juta dan dijangka akan bermula pada awal tahun depan, katanya.

Sementara itu, bagi segmen pembinaan, SCBuild sedang memuktamadkan cadangan untuk mengambil alih sebuah syarikat pembinaan, Visi Sempena Sdn Bhd, dengan nilai RM60 juta untuk mengembangkan perniagaan pembinaannya.

“Kami sedang berusaha untuk mendapatkan lebih banyak kontrak daripada kerajaan dan sektor swasta dalam segmen pembinaan serta industri lain yang berkaitan seperti RE di loji tenaga solar, tenaga solar di atas bumbung, rumah mampu milik dan kerja-kerja infrastruktur serta perniagaan yang berkaitan untuk menambah nilai perolehan kontrak kami,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 

 




    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]