Berita

Usaha sama serba dinamik akan bangunkan hab inovasi di Abu Dhabi



KUALA LUMPUR, 23 April  --  Serba Dinamik  Holdings Bhd, melalui usaha samanya, Block 7 Investments telah memperoleh kontrak untuk membangunkan hab inovasi pertama di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Dalam satu kenyataan hari ini, ZonesCorp yang bertanggungjawab untuk merancang, membangun dan mengurus zon ekonomi khusus untuk pelabur di UAE berkata ia telah menandatangani perjanjian untuk pembangunan Hab Inovasi Blok 7 seluas 820,000 meter persegi.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan  Serba Dinamik , Datuk Karim Abdullah berkata projek itu dijangka siap dalam tiga fasa.

"Fasa satu akan mekibatkan pembangunan lebih daripada 350.000 meter persegi tanah, manakala bagi fasa dua dan tiga, 470,000 meter persegi lagi akan dibangunkan," katanya.

Beliau berkata projek itu dijangka dapat memenuhi aspirasi Abu Dhabi untuk mendorong pertumbuhan ekonomi melalui pembuatan maju dan paten berinovasi.

Hab merupakan cetusan idea EFIRE Capital Holdings Ltd dari Abu Dhabi dan  Serba Dinamik .



ZonesCorp, sebuah syarikat di bawah Abu Dhabi Ports berkata pembangunan itu akan menjadi asas kluster pembuatan berteknologi tinggi dan kluster sains hayat dan farmasi.

Ia akan memberi perkhidmatan kepada syarikat yang terlibat dalam bidang kesihatan, mobiliti, sistem infrastruktur pintar, teknologi persekitaran, dan bidang penyelesaian teknologi maklumat dan komunikasi, katanya.

Menurut kenyataan itu, hab tersebut akan turut menjadi pusat membeli-belah digital canggih, arena e-sukan, taman tema digital dengan teater hologram, pejabat pintar dan ruang kerja, serta kemudahan pendidikan dan makmal untuk sektor akademik dan penyelidikan serta pembangunan.

Syarikat itu juga memberitahu bahawa ruang pameran realiti campuran, selain hospitaliri dan tempat tinggal pintar, serta gerai makanan dan minuman, juga sedang dalam perancangan.

Ketua Pegawai Eksekutif ZonesCorp, Mohamed Al Khadar Al Ahmed berkata hab itu akan menyokong pertumbuhan industri pembuatan maju yang mampan di Abu Dhabi dan juga sektor pembuatan di UAE.

-- BERNAMA

 

 


 




    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]