Berita

IBR tingkat kestabilan, perkukuh sektor tenaga



Oleh Saraswathi Muniappan

KUALA LUMPUR, 23 April -- Langkah berani Malaysia melaksanakan Peraturan Berasaskan Insentif (IBR) dalam sektor tenaga hampir lapan tahun lepas telah menjadikan rangka kerja elektrik negara kekal fleksibel dan mampan sekali gus berupaya mendepani cabaran global dan ekosistem industri elektrik yang sentiasa berkembang. 

Walaupun semasa permintaan tenaga terjejas akibat pandemik dan kemudiannya pulih kembali meskipun agak perlahan, IBR memainkan peranan penting menerusi keupayaannya untuk menyesuaikan dengan perubahan mendadak seperti itu.  

Pada Disember 2020, Tenaga Nasional Bhd (TNB) menerima kelulusan daripada Suruhanjaya Tenaga untuk melanjutkan Tempoh Regulatori Kedua (RP2) bagi setahun lagi sehingga 31 Dis, 2021. Lanjutan itu menunjukkan keberkesanan mekanisme IBR bagi mengekalkan kestabilan dalam industri tenaga.  

IBR adalah mekanisme bagi penetapan tarif elektrik dengan insentif untuk menambah baik kecekapan TNB dan memberikan lagi ketelusan kepada pelanggan. 

“Di bawah lanjutan RP2, tarif asas kekal pada 39.45 sen/kwj dan kos purata wajaran modal (WACC) pada 7.3 peratus, memastikan pulangan stabil bagi entiti perniagaan dikawal selia TNB,” katanya sambil menambah di negara-negara yang melaksanakan IBR, kelebihan sistem itu menjadi semakin ketara. 

Di Denmark sebagai contoh, ia menyelesaikan isu kebolehpercayaan sistem dan di Kanada prestasi kos bagi syarikat utiliti meningkat melebihi purata, mendedahkan pasaran tenaga yang lebih cekap dan menjimatkan kos manakala di Filipina, ia memberi insentif kepada bekalan tenaga bagi memastikan kepuasan pelanggan. 

Sebagai negara kedua ASEAN yang melaksanakan IBR (yang pertama Filipina), Malaysia meraih manfaat daripada IBR dalam banyak bentuk. Antaranya termasuklah dapat menangani ketidakcekapan kos, tarif yang tidak jelas dan kekeliruan mengenai perjanjian pembelian kuasa.

Walaupun semasa penularan COVID-19 apabila penutupan perniagaan telah menjejaskan banyak mata pencarian, kerangka itu telah meletakkan mekanisme yang membolehkan rebat dan diskaun elektrik diberikan kepada pelanggan TNB yang terkesan akibat pandemik tersebut. 

IBR telah membuka peluang baharu dalam penjanaan elektrik dengan membolehkan Malaysia membangunkan kekuatan asasnya bagi menampung permintaan masa depan menerusi penerimagunaan tenaga mampan.

Malah, sejajar dengan peranannya sebagai pengawalseliaan masa depan, IBR merupakan satu kerangka yang berasaskan unjuran permintaan tenaga elektrik dan kos pengeluaran  masa depan.

Ini berikutan IBR adalah model yang berteraskan unjuran bagi tempoh tiga tahun akan datang selain terdapat ruang bagi penyampaian secara fleksibel.

Di Malaysia, pelaksanaan IBR termasuk komponen fleksibel atau anjal menerusi Pelepasan Imbangan Kos Penjanaan (ICPT) yang membolehkan pengeluar atau penjana tenaga elektrik menggunapakai tarif sebagai tindak balas terhadap harga minyak global dan menjadikan pengeluaran tenaga itu jauh lebih berdaya tahan dari segi ekonomi terhadap harga minyak yang tidak menentu.

Ini penting bagi Semenanjung Malaysia yang masih banyak bergantung kepada sumber bahan api fosil.

Setakat September 2020, penjanaan tenaga elektrik di Semenanjung Malaysia adalah masing-masing  65.9 peratus daripada sumber arang batu, gas (28.4 peratus), hidro (5.5 peratus) dan solar hanya 0.1 peratus.

Kos bahan api dan penjanaan merangkumi kira-kira 70 peratus daripada jumlah kos tarif yang dibayar oleh pelanggan TNB manakala sebahagian besar baki 30 peratus membabitkan kos operasi dan penyelenggaraan.

Gabungan sedemikian menjadikan tarif elektrik amat terdedah kepada turun naik harga bahan api global arang batu dan gas asli.

Purata tarif asas semasa pada 39.45 sen setiap kWj ditetapkan sehingga 31 Dis, 2021.

Selain itu, komponen bahan api serta penjanaan dalam tarif itu tidak dapat dikawal dan tertakluk kepada semakan semula ICPT setiap enam bulan dengan semakan akan datang dijadualkan pada Julai.

Bagi tempoh ICPT sedia ada antara Januari hingga Jun, 2021, kerajaan telah mengumumkan rebat elektrik sebanyak dua sen bagi setiap kWj untuk pengguna domestik dan perindustrian, sejajar dengan pengurangan kos bahan api sebenar bagi tempoh Julai hingga Disember 2020.

Satu lagi komponen penting IBR adalah ia menyediakan belanjawan yang dapat ditentukan lebih awal lagi bagi memastikan syarikat-syarikat utiliti mengendalikan sumber kewangan secara berhemat.

Pada masa sama, ia juga berperanan sebagai insentif bagi tujuan inovasi dan kecekapan yang memberi manfaat kepada pelanggan dengan meneruskan usaha mengenal pasti kaedah lebih cekap untuk mengurangkan kos.

TNB menerusi Laporan Tahunan 2020 menyatakan : “IBR telah menyumbang dari segi peningkatan ketara dalam prestasi sistem, kecekapan operasi serta perkhidmatan pelanggan dan kami bersemangat untuk berusaha lebih lagi dalam usaha memperkasa pelanggan menerusi (langkah) Grid Masa Depan."

"Tarif asas sebanyak 39.45 sen/kWj yang diluluskan di bawah rangka kerja IBR, ditambah pula dengan komitmen pelaksanaan ICPT sepanjang  RP2 oleh kerajaan telah memainkan peranan penting bagi membolehkan TNB mengendalikan rangkaian dengan cekap dengan kos yang lebih rendah kepada pelanggan berbanding rakan serantau," tambahnya. 

Memandangkan RP2 (2018-2020) telah dilanjutkan sehingga Disember 2021, semakan tarif dan pelaksanaan Tempoh Regulatori Ketiga IBR atau RP3 (2021-2023) akan ditangguhkan selama setahun, bermakna RP3 hanya akan bermula mulai 1 Januari 2022 hingga 31 Disember 2024.

Lanjutan itu memberikan flaksibiliti tambahan kepada pelaksanaan IBR di Malaysia yang akan menjamin  keselamatan, kemampuan serta kemampanan bekalan elektrik negara.

Dalam erti kata lain, rangka kerja itu membolehkan pengawal selia dan kerajaan untuk menyesuaikan keadaan dengan sewajarnya. 

Walaupun IBR dilihat sebagai pembuka jalan bagi kemajuan, tidak bermakna ia tidak ada cabaran. Sebagai permulaan, sistem ini berdasarkan kepada peraturan yang progresif. 

Oleh itu, unjuran permintaan elektrik dan kos masa hadapan serta memastikan ketepatan dalam jangkaan tersebut dalam tempoh tiga tahun adalah cadangan yang sukar dan perubahan dramatik dalam harga bahan api akibat pandemik kesihatan termasuk keperluan untuk menilai semula, adalah contoh yang baik.

Selain itu, teknologi termaju seperti penyimpanan bateri, bersama-sama pengembangan penggunaan tenaga boleh diperbaharui akan terus memberi kesan kepada landskap, menyebabkan pengawal selia serta kerajaan yang memilih untuk melaksanakan IBR tidak mempunyai pilihan selain mengikuti perubahan serta rangka kerja IBR yang telah disesuaikan untuk mereka.

Dari segi positifnya, IBR amat penting dalam memastikan utiliti dapat menjana aliran tunai yang mencukupi bagi menyokong pelaburan yang diperlukan terutamanya di bawah peralihan tenaga dan memastikan sektor tenaga Malaysia setanding dengan negara-negara maju.

-- BERNAMA

 

T

 


SM SM ZK/INA/SLR




    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]