PUTRAJAYA, 19 April -- Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) akan merancakkan promosi program ‘Sustainability Achieved via Energy Efficiency’ (SAVE) 2.0 memandangkan hanya 40,000 isi rumah memanfaatkannya setakat ini.
Pengerusi SEDA Lukanisman Awang Sauni berkata, hanya RM8 juta dibelanjakan bagi tujuan program itu daripada RM30 juta yang diperuntukkan oleh kerajaan, dengan jangkaan akan memanfaatkan 140,000 isi rumah.
SAVE 2.0 merupakan program pemberian e-rebat RM200 kepada isi rumah, yang membeli alat penyaman udara atau peti sejuk cekap tenaga melalui platform Lazada dan Shoppee, dan barangan tersebut perlu menjalani pengesahan pengujian prestasi peralatan cekap tenaga, yang mendapat empat atau lima bintang oleh Suruhanjaya Tenaga (ST).
Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Tautan Kasih Ramadan SEDA Malaysia, yang meraikan 33 penghuni Rumah Bakti Al-Kausar Bangi di sini hari ini beliau berkata, SEDA akan mengenal pasti kekangan dan permasalahan yang wujud, dalam menebus rebat berkenaan.
“SEDA juga menerima permohonan agar rebat diperluaskan kepada semua perkakas elektrik, dan secara tidak langsung ia akan menjana pendapatan kepada peniaga perkakas elektrik yang lain,” katanya.
Lukanisman yang juga Ahli Parlimen Sibuti berkata, cara penebusan rebat akan ditambah baik, contohnya ditebus di kedai elektrik berdekatan, memandangkan pembelian secara dalam talian menghalang penduduk luar bandar terutamanya di Sabah dan Sarawak, manakala caj penghantaran dari Lazada dan Shoppee juga tinggi.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah ketika berucap pada majlis itu berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak termasuk kerajaan negeri, yang tidak bekerjasama dalam pelaksanaan projek industri Tenaga Boleh Baharu (TBB).
Katanya, tindakan tegas seperti penarikan balik kuota Tarif Galakan (FiT) yang telah diluluskan boleh dilakukan, selaras dengan kuasa dan peruntukan perundangan.
“Kuota yang ditarik balik akan ditawarkan semula melalui proses ‘e-bidding’. Langkah ini penting bagi memastikan supaya perancangan dan petunjuk prestasi utama (KPI) yang telah ditetapkan boleh dicapai, dan kuota tersebut boleh ditawarkan semula kepada pemaju projek TBB yang komited dan berdaya maju,” katanya.
-- BERNAMA
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]