Berita

Boustead jalin perkongsian dengan Next Gen bagi minyak alga mentah

Boustead Holdings Bhd

KUALA LUMPUR, 19 April -- Perkongsian Boustead Holdings Bhd dengan Next Generation Oil Sdn Bhd (Next Gen) akan mewujudkan ekosistem ekonomi baharu menerusi teknologi biobahan api alga boleh baharu, yang akan mendorong pengurangan gas rumah hijau yang dihasilkan bahan api fosil tradisional.

Pengarah Urusan Kumpulan Boustead, Datuk Seri Mohammed Shazalli Ramly berkata sebagai permulaan, kedua-dua pihak akan membangunkan perladangan alga seluas 404.69 hektar pertama di dunia untuk penanaman alga, penuaian biojisim alga dan seterusnya mengekstrak minyak alga mentah sebanyak 1.8 juta tan setahun.

Beliau berkata Next Gen memiliki teknologi A-MAP dilindungi paten, yang merupakan proses penanaman dan penuaian alga mikro yang secara asasnya berbeza untuk memberikan hasil jauh lebih tinggi pada skala industri dan kos pengeluaran berdaya maju dari segi komersial.

“Bagi melengkapkannya, Boustead memiliki simpanan tanah perladangan yang luas, diperlukan bagi pembangunan perladangan alga berskala besar ini untuk memenuhi peningkatan permintaan global terhadap biobahan api.

“Sebagai sebahagian strategi baharu kami, sfera tenaga boleh baharu ini menawarkan aliran perolehan mampan bagi jangka sederhana dan panjang kepada syarikat,” katanya pada majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman antara kedua-dua syarikat di sini, pada Isnin.

Beliau berkata inisiatif biobahan api alga ini disokong oleh simpanan tanah yang lebih daripada mencukupi Boustead Plantations Bhd (BPB) untuk membangunkan kemudahan penanaman alga, seiring dengan rancangan Boustead untuk mewujudkan aktiviti alternatif atau pelengkap BPB.

“Selain beberapa syarikat minyak utama, yang Next Gen ada perjanjian pembelian minyak alga mentah, kami juga mempunyai anak syarikat iaitu Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd yang mengendalikan kira-kira 400 stesen BHPetrol di seluruh negara yang berpotensi menjadi pembeli tempatan biobahan api alga pada masa depan.

“Usaha sama ini akan mendorong penciptaan peluang pekerjaan baharu terutama bagi pesara tentera. Ia adalah agenda perniagaan utama Boustead bagi membantu anggota dalam perkhidmatan dan bekas anggota yang merupakan pemegang utama saham kami menerusi sumbangan mereka kepada Lembaga Tabung Angkatan Tentera,” katanya.

Mohammed Shazalli juga berkata usaha itu akan menyediakan platform sebenar bagi penciptaan program pembangunan vendor baharu, yang menyokong ekosistem perniagaan baharu keseluruhan untuk memberi banyak manfaat kepada rakyat Malaysia dan negara.

Pengerusi Eksekutif Next Gen, Datuk Mohamed Moiz J M Ali Moiz berkata minyak alga mentah adalah minyak semula jadi karbon, boleh diperbaharu, bukan fosil yang boleh ditapis menjadi biodiesel, biogasolin dan biobahan api penerbangan, untuk digunakan dalam sektor pengangkutan dan tenaga.

“Pada masa ini kami melaksanakan projek rintis perladangan alga di Pahang, dengan kos pembangunan US$750 juta hingga US$900 juta, yang kami sasarkan untuk menghasilkan kira-kira 90,000 tan (558,000 tong) minyak alga mentah sehari pada 2025.

“Kini kami telah komited untuk membekalkan kira-kira 4,300 tan sehari atau 1.4 juta tan minyak alga mentah setahun dengan nilai jualan US$750 juta dalam tempoh 18 bulan akan datang,” katanya.

Beliau berkata pihaknya akan menambah pesanan sebanyak satu juta tan setahun dalam beberapa bulan selepas itu.

Mohammed Moiz berkata justeru, dengan sokongan dan tenaga daripada pasukan pengurusan Boustead, usaha perladangan alga pertama tersebut akan dapat bermula pada akhir suku ketiga atau awal suku keempat 2021.

-- BERNAMA





    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]