Berita

Dapatkan khidmat, nasihat berkenaan elektrik daripada pihak ditauliah - Suruhanjaya Tenaga

Source: Facebook

KUALA LUMPUR, 15 April  -- Suruhanjaya Tenaga (ST) menggesa semua pihak agar mendapatkan khidmat dan nasihat berkenaan keselamatan, penyelenggaraan, pembaikan serta pemasangan elektrik daripada pihak yang ditauliah suruhanjaya itu sahaja.

ST dalam kenyataan hari ini memaklumkan ia bagi menjamin keselamatan orang ramai kerana pihak ditauliah suruhanjaya itu adalah pemegang perakuan kekompetenan daripada ST, pemegang lesen awam dan kontraktor elektrik yang berdaftar dengan ST.

Suruhanjaya itu menjelaskan bagi mendapatkan perakuan kekompetenan daripada ST, calon berkenaan perlu melalui peperiksaan teori, praktikal dan lisan bagi memastikan kefahaman serta tatacara pengendalian elektrik yang betul dan selamat.

Menurut kenyataan itu, pemegang lesen awam dan kontraktor elektrik yang berdaftar dengan ST juga perlu mengambil orang kompeten sepenuh masa yang berkaitan dan berdaftar dengan ST.

“Ini (dapatkan khidmat pihak terbabit) sekali gus akan menjamin keselamatan orang ramai apabila menggunakan khidmat atau nasihat daripada mereka,” demikian menurut kenyataan tersebut.

Sehubungan itu menurut ST, orang ramai boleh menyemak dan meminta pihak berkenaan menunjukkan Sijil Kompeten ST atau Kad Pendaftaran Orang Kompeten (CPIC) sebelum membuat sebarang lantikan dalam menjalankan sebarang kerja elektrik sebagai langkah mengenali pemegang perakuan kekompetenan ST.

Jelas suruhanjaya itu, CPIC diberi kepada orang kompeten yang bekerja dengan kontraktor elektrik yang berdaftar dengan ST bagi membuat kerja-kerja elektrik.

“Orang ramai juga boleh mengimbas Kod QR yang terdapat pada kad tersebut bagi memastikan data yang diberikan bersamaan dengan data pada kad.

“Selain itu, laman web ST (www.st.gov.my) juga ada memaparkan senarai kontraktor dan orang kompeten yang berdaftar dengan ST yang boleh dirujuk oleh orang ramai,” demikian menurut kenyataan tersebut.

Sekiranya mempunyai aduan berkenaan perkara tersebut, orang ramai boleh menyalurkan segera aduan ke sistem aduan ST (eAduan) yang boleh dicapai menerusi laman web yang sama atau melalui talian 03-8870 8800 atau e-mel ke eAduan@st.gov.my.

-- BERNAMA





    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]