MUKAH, 11 April -- Kejayaan Petroleum Nasional Bhd (Petronas) menemui telaga minyak dan gas baharu di perairan cetek Balingian baru-baru ini, bakal menyuntik impak positif yang tidak hanya meliputi daerah kecil, malah di Bahagian Mukah.
Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, sejajar dengan jaluran minyak dan gas dari kawasan Balingian ke Miri, terdapat kemungkinan pangkalan operasi baharu diwujudkan di Mukah yang sekali gus berupaya memacu pembangunan di kawasan berkenaan.
“Masih terlalu awal untuk kita menyatakannya tetapi kita akan melihat bagaimana operasi Petronas (selepas penemuan itu). Apa yang penting, kita telah pun melaksanakan pembangunan asas prasarana di sini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis penyerahan kemudahan medan selera Metading oleh Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) kepada Majlis Daerah Dalat dan Mukah di sini, pada Ahad.
Pada 30 Mac lepas, Petronas mengumumkan penemuan minyak dan baharu di telaga cari gali ‘wildcat’ Sirung-1 dalam Blok SK405B Perkongsian Pengeluaran (PSC) di perairan cetek wilayah Balingian, 237 kilometer dari pesisir Miri, Sarawak.
Telaga ‘wildcat’ merujuk kepada belum terbukti kewujudan minyak atau dieksploitasi sepenuhnya dan tiada rekod pengeluaran kukuh atau dieksploitasi sepenuhnya sebelum ini sebagai tapak pengeluaran minyak dan gas.
Malah, telaga cari gali Sirung-1 itu berjaya digerudi sehingga mencecah kedalaman 2,538 meter pada Februari 2021.
Penemuan ruang minyak dan gas penting ini iaitu melebihi 100 meter dalam takungan batu pasir Oligosen hingga Pertengahan Miosen, mengesahkan lagi potensi wilayah Balingian dengan prospek baki yang masih belum diterokai.
Dalam pada itu, Abang Johari berkata kawasan Metading akan menjadi tumpuan pembangunan baharu bagi Bahagian Mukah.
Menurutnya, selain medan selera baharu itu, sebuah kemudahan ‘tamu’ atau pasar terbuka juga dirancang bagi kawasan tersebut yang akan dilaksanakan oleh LCDA.
-- BERNAMA
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]