Berita

Projek rintis bas elektrik di Kota Kinabalu dijangka mula pertengahan tahun ini



KOTA KINABALU, 10 April -- Warisan Harta Sabah Sdn Bhd (WHS) dijadual memulakan projek rintis bas elektrik di sekitar ibu negeri ini selama enam bulan pada pertengahan tahun ini.

Pengarah Eksekutif WHS Mohd Shukor Abdul Mumin berkata di bawah projek itu, WHS yang juga cabang pelaburan Kerajaan Negeri Sabah, dijangka menerima 100 hingga 200 unit bas elektrik tersebut.

Pada masa sama, beliau menggesa agar pengusaha bas sedia ada tidak berasa bimbang kerana perkhidmatan bas elektrik tersebut tidak menjejaskan pendapatan mereka, sebaliknya turut memberi faedah kepada mereka.

"Kita akan jelaskan bahawa pendapatan mereka tidak akan berkurangan, malah bertambah. Apa yang kita mahu adalah mengurangkan kesesakan dan pencemaran," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) WHS dengan tiga syarikat -- Gemilang Coachworks Sdn Bhd (GML) yang juga pengeluar bas elektrik, EPost dan Go Auto Group di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di sini, pada Sabtu.

Pada majlis disaksikan oleh Pengerusi WHS, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, WHS diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Ahmad Rizal Dahli manakala GML diwakili Pengarah Urusan Pang Chong Yong, Epost oleh Pengarah Urusan Tobin Ng bersama Ketua Pegawai Operasi Mandy Chan dan Go Auto Group diwakili oleh Pengerusi Eksekutifnya Datuk SM Azli Nasimuddin Kamal dan Pengarah Eksekutif Farok Maasom.

Mohd Shukor berkata, MoU tersebut adalah di bawah Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) yang dianggarkan bernilai lebih RM200 juta dan sejajar dengan Revolusi Industri 4.0.

Kerjasama dengan Epost melibatkan WHS mewujudkan pembelian produk tempatan kendalian Kojasa Mart secara dalam talian yang menawarkan harga lebih rendah selain produk berkualiti.

"Ia (harga) adalah kira-kira lima peratus hingga 10 peratus lebih rendah daripada pasaran selain mengurangkan penglibatan orang tengah yang menjadi punca harga sukar diturunkan," katanya.

Menurutnya, kemudahan gudang Kojasa Mart terdapat di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) manakala outlet di Inanam serta daerah lain termasuk Lahad Datu, Tawau dan Sandakan.

Bagi kerjasama dengan Go Auto Group, Mohd Shukor berkata syarikat terbabit akan mengeluarkan dana manakala WHS menyediakan prasarana termasuk keperluan membabitkan bidang logistik.

Malah, WHS kini dalam proses mencari lokasi sesuai seluas kira-kira 20.234 hektar bagi operasi Go Auto dan mengurangkan kos logistik selain menyediakan peluang pekerjaan untuk anak-anak tempatan.

-- BERNAMA





    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]