Berita

Moody’s jangka syarikat O&G tingkatkan Capex pada 2021



KUALA LUMPUR, 8 April -- Syarikat minyak dan gas (O&G) dijangka meningkatkan program perbelanjaan modal (capex) pada 2021 sekiranya harga minyak berada antara paras US$60 dan US$70 setong (US$1= RM4.13), demikian menurut  Moody's Investors Service.

Penganalisis kumpulan pembiayaan kewangan korporat Moody’s Sim Hui Ting berkata berikutan lebih banyak syarikat O&G menyemak semula program capex mereka ekoran impak pandemik COVID-19, ia akan menyebabkan keuntungan yang lebih tinggi kepada syarikat perkhidmatan medan minyak.

“Sekiranya harga berlegar pada paras rendah daripada julat tempoh sederhana kami iaitu US$45-US$65 setong, syarikat akan teragak-agak untuk meningkatkan capex mereka dengan signifikan mulai 2020.

“Bagaimanapun, melihat kepada harga semasa, kami berpendapat syarikat-syarikat ini akan mula melihat program capex mereka dan melihat sekiranya terdapat mana-mana bidang untuk mereka tingkatkan apa yang telah dirancang pada 2020,” katanya pada sidang meja bulat Moody's Inside ASEAN Malaysia hari ini.

Memetik Petroliam Nasional Bhd (Petronas) sebagai contoh, Sim berkata Moody’s mengunjurkan gergasi O&G itu akan memperuntukkan capex yang lebih tinggi antara RM40 bilion dan RM45 bilion pada 2021, berbanding RM33 bilion pada 2020 susulan harga minyak mentah yang lebih baik.

Pada Februari lepas, Petronas mengumumkan peruntukan capex akan dikurangkan kepada RM40 bilion hingga RM45 bilion setahun untuk tempoh lima tahun akan datang susulan unjuran harga minyak global dan unjuran industri dalam tempoh lima tahun akan datang.

Sebelum ini, syarikat itu memperuntukkan RM50 bilion hingga RM60 bilion setahun untuk capex.

Sementara itu, Pengarah Urusan Bersekutu kumpulan kewangan korporat Moody’s Vikas Halan mengunjurkan prospek ke atas sektor O&G kekal lemah susulan pengurangan capex pada 2020 dan syarikat perkhidmatan medan minyak “tidak pernah betul-betul” pulih daripada kejatuhan harga minyak sejak 2016.

“Pengurangan kali ini (capex 2020) semakin menambah (tekanan kepada harga),” katanya.

Pada masa depan, beliau menjangka peralihan tenaga seperti tenaga solar dan pemasangan ladang angin luar pesisir akan menambahkan lagi beban kepada sektor O&G berikutan ladang baharu itu tidak akan diteroka sejauh yang telah dilakukan sebelum ini.

“Prospek untuk syarikat perkhidmatan akan terus lembap,” katanya.

-- BERNAMA





    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]