Berita

KPT galakkan penyertaan dalam pensijilan profesional kenderaan elektrik, hibrid

Datuk Dr Mansor Othman (File pic)

KEPALA BATAS, 5 April -- Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menggalakkan lebih ramai pemain industri automotif mengikuti kursus Pensijilan Profesional Hibrid dan Elektrik Tahap 4 di Kolej Komuniti Kepala Batas, yang merupakan satu-satunya kursus Tahap 4 yang ditawarkan di luar dari United Kingdom dan Ireland.

Timbalan Menterinya Datuk Dr Mansor Othman berkata Kolej Komuniti Kepala Batas telah diiktiraf sebagai ‘Approved Centre’ oleh Institute of the Motor Industry (IMI) dari United Kingdom, yang turut memfokuskan kepada bidang khusus dengan menawarkan Pensijilan Profesional Hibrid dan Elektrik Tahap 1 hingga 3.

“Pensijilan Tahap 4 dijangka mula ditawarkan pada suku ketiga tahun ini dengan sumbangan sebuah kereta elektrik kepada Kolej Komuniti Kepala Batas oleh pihak industri iaitu syarikat MILI Auto & Hybrid Service Sdn Bhd,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri Program Jelajah Malaysia Prihatin di Kolej Komuniti Kepala Batas hari ini.

Beliau berkata Kolej Komuniti Kepala Batas telah menawarkan kursus Tahap 1 hingga 3 bermula dari 2014 dan setakat tahun lepas telah mendaftarkan seramai 927 peserta kursus automotif dari dalam dan luar negara antaranya Singapura, Fiji, Bangladesh, Romania, Mauritius dan United Kingdom.

Mansor berkata penawaran kursus ini dijangka dapat menarik minat ramai lagi pemain industri automotif di dalam dan luar negara memandangkan kos untuk mengikuti kursus itu lebih murah di Malaysia berbanding di United Kingdom dan Ireland dan peserta juga berkelayakan untuk bekerja di luar negara kerana sijil yang diperoleh bertaraf antarabangsa.

Sementara itu, pengasas MILI Auto & Hybrid Service Sdn Bhd Mohd Farid Abd Manaf yang pernah mengikuti kursus Tahap 1 hingga 3 di kolej berkenaan tiga tahun lepas turut menggalakkan pemilik bengkel kereta untuk menyertai kursus itu sebagai nilai tambah kepada perniagaan mereka.

“Sebelum mengikuti kursus ini, saya hanya mengendalikan bengkel kereta biasa, selepas mendapat sijil ini, saya mula memberi servis kepada pemilik kenderaan elektrik dan hibrid dan hasil penjualan meningkat sebanyak 300 peratus...tambahan pula, kita sangat kekurangan tenaga mahir dalam bidang kenderaan jenis ini,” katanya.

-- BERNAMA

 





    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]