KUALA LUMPUR, 5 April -- Minyak dan gas akan terus menjadi sebahagian besar daripada campuran tenaga walaupun mencatatkan aliran penurunan sebanyak 47 peratus menjelang 2040 daripada kira-kira 54 peratus pada 2018 berikutan pertumbuhan tenaga boleh baharu.
Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Huluan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) Adif Zulkifli berkata sebagai industri yang dipertanggungjawabkan memenuhi permintaan tenaga yang berkembang, penting untuk syarikat minyak negara itu untuk terus memberikan tenaga mampu milik, selamat dan lestari.
“Di sinilah cabaran sebenar. Kami perlu melakukannya dengan selamat, pada kos serendah mungkin bagi memastikan kami berdaya tahan dan selain itu, pada karbon rendah, bererti kita perlu memastikan bahawa kita perlu mendorong penurunan paras pelepasan karbon daripada paras semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada ‘Re-Imagining Malaysia Assets’ (Imaginasi Semula Aset Malaysia) (RESET) 2021 yang diadakan buat julung kalinya antara lain, bertujuan memperkukuhkan usaha pengumpulan teknologi inovasi dan pemindahan teknologi dalam kalangan industri dengan berkongsi pelaksanaan dan amalan terbaik bagi mengharungi ketidakstabilan harga tenaga.
Persidangan secara maya selama empat hari itu dihoskan Petronas Carigali Sdn Bhd dan dianjurkan oleh Persatuan Jurutera Petroleum Kuala Lumpur dengan kerjasama Majlis Perkhidmatan Minyak dan Gas Malaysia serta Informa Markets.
Mengulas selanjutnya, Adif berkata perubahan dalam penetapan minda serta bagaimana perkara itu dilakukan adalah paling utama dan menurutnya memanfaatkan teknologi baharu dan pendigitalan akan memacu industri minyak dan gas untuk bertahan, kekal relevan dan berdaya saing pada masa depan.
“Apa yang kita telah lakukan sebelum ini tidak akan memberi kesan pada masa akan datang. Teknologi dan pendigitalan yang telah sekian lama disokong sebagai ejen perubahan masa depan perlu dimanfaatkan dan dilaksanakan pada masa ini,” katanya.
Adif berkata Petronas telah mula mengimaginasikan semula masa depan melalui operasi yang boleh dilakukan secara jarak jauh.
“Malah, pada 2020, platform operasi secara jauh kami yang pertama dimulakan di medan Resak, di luar pesisir Terengganu. Kami menjangka untuk mengurangkan perbelanjaan operasi sehingga 30 peratus,” katanya.
Sementara itu, Kenanga Research berkata harga minyak mentah Brent terus meningkat pada tahun ini berikutan gangguan bekalan disebabkan cuaca dan keputusan OPEC untuk mengekalkan pengurangan pengeluaran.
Bagaimanapun, firma itu masih melihat kemungkinan kepada risiko penurunan harga minyak, malah mungkin merosot di bawah paras US$60 setong ekoran dinamik permintaan-penawaran yang masih lemah dengan pemulihan sepenuhnya kepada paras sebelum pandemik dijangkakan hanya berlaku pada 2023.
OPEC tidak dapat mengelakkan pertambahan pengeluaran sepanjang tahun memandangkan penggunaan kapasiti pengeluaran yang rendah akan menjadi satu lagi risiko penurunan kepada industri.
“Namun, di sebalik risiko penurunan kepada harga minyak, kami yakin harga minyak mentah Brent yang bergerak antara paras US$55 dan US$65 setong adalah cukup baik untuk mengekalkan peningkatan tahap aktiviti,” kata Kenanga Research.
-- BERNAMA
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]