Berita

RM500 juta diperuntukkan bagi projek tenaga solar terapung di Tasik Danau To' Uban



PASIR MAS, 1 April -- Sejumlah RM500 juta diperuntukkan sebagai kos pelaburan untuk Projek Tenaga Solar Terapung di Tasik Danau To' Uban, di sini, kata Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Beliau berkata projek yang diintegrasikan dengan aktiviti ternakan ikan dan pelancongan itu bakal menjadi ladang solar terapung yang terbesar di Asia Tenggara.

Katanya kerajaan negeri melantik Kelantan Utilities Mubaarakan Holdings Sdn Bhd (KUM) sebagai rakan strategik dalam membangunkan industri teknologi hijau di Kelantan.

“Ladang solar terapung ini adalah projek yang diusahakan oleh Cypark Resources Berhad (Cypark) melalui syarikat sekutunya, Cypark Estuary Solar Sdn Bhd manakala Cove Suria Sdn Bhd sebagai peneraju utama projek dengan kerjasama KUM melibatkan kos pelaburan sebanyak RM500 juta.

“Ia terdiri daripada 247,830 panel solar terapung yang boleh menjana 140,000 MWh kuasa setahun. Ia juga dapat menyalurkan tenaga elektrik kepada 46,480 isi rumah dan menjimatkan kira-kira 96,600 tan metrik karbon dioksida pada setiap tahun,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Projek Tenaga Solar Terapung di Tasik Danau To' Uban di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Kumpulan Eksekutif Cypark Resources Bhd Datuk Daud Ahmad dan Pengerusi Cypark Resources Bhd Tan Sri Razali Ismail.

Mohd Amar berkata satu pelan induk pembangunan telah disediakan oleh kerajaan negeri untuk memastikan pembangunan di kawasan itu terancang dan sistematik.

“Pembangunan ini selaras dengan Pelan Induk Pembangunan Mampan (PIPM) Negeri Kelantan yang memfokuskan kepada pelaksanaan agenda pembangunan sosioekonomi negeri secara inklusif melibatkan pihak berkepentingan termasuk kerajaan negeri, swasta dan rakyat,” katanya.

Sementara itu, Razali berkata ladang solar tersebut merupakan peluang untuk menjana tenaga dengan kos yang rendah dan berharap projek ini akan menjadi batu loncatan untuk membina lebih banyak projek solar di Kelantan.

“Projek ini dijangka siap pada Disember tahun ini,” katanya.

-- BERNAMA





    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]