Berita

Pengguna meter pintar, aplikasi myTNB bakal terima lebih manfaat



KUALA LUMPUR, 26 Mac  -- Pengguna meter pintar dan aplikasi myTNB bakal menerima lebih banyak manfaat menerusi penambahan ciri-ciri baharu serta naik taraf perkhidmatan, selewat-lewatnya pada suku keempat tahun ini.

Pengarah Projek Advanced Metering Infrastructure (AMI) Tenaga Nasional Berhad (TNB) Ir Mohamed Ghous Ahmad berkata antara ciri baharu yang bakal dinikmati pengguna adalah pemberitahuan pengesanan gangguan bekalan dan pemberitahuan notis gangguan bekalan berkala.

“Menerusi ciri Energy Budget pula, pengguna dapat merancang jumlah atau had penggunaan elektrik bulanan dan akan menerima notifikasi apabila jumlah bil sasaran bulanan telah mencapai had yang ditetapkan.

“Satu lagi ciri meter pintar adalah keupayaannya mendorong pengguna menggunakan elektrik dengan lebih efisien dan jimat tenaga sekali gus membantu mengurangkan pelepasan karbon dioksida ke alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata ciri-ciri baharu ini adalah bertepatan dan bersesuaian dengan usaha TNB mendukung dan merealisasikan hasrat kerajaan memberi manfaat kepada rakyat dengan memperkasakan bidang ekonomi digital.

Mohamed Ghous berkata demikian ketika memberi taklimat semasa lawatan kerja Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) Noor Afifah Abdul Razak dan Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga Abdul Razib Dawood di Pusat Operasi Meter Pintar pada 23 Mac lepas.

Turut hadir Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian TNB Wan Nazmy Wan Mahmood dan Ketua Pegawai Kawal Selia dan Pengurusan Stakeholder TNB Datuk Wira Roslan Ab Rahman.

TNB telah memasang lebih sejuta meter pintar setakat ini iaitu 788,000 pemasangan melibatkan pengguna di Lembah Klang manakala 317,000 lagi di Melaka.

Pemasangan meter akan diperluas kepada kesemua 9.1 juta pengguna di Semenanjung Malaysia menjelang 2026.

Sehingga akhir bulan lepas, lebih 4.8 juta akaun pengguna berdaftar telah menggunakan aplikasi myTNB.

Kombinasi aplikasi ini dan meter pintar membantu pengguna mengawal serta memantau penggunaan elektrik mereka.

TNB merupakan ejen pelaksana program pemasangan meter pintar bagi menyokong hasrat kerajaan memperkasa pengguna dan meningkatkan pendigitalan dalam kalangan rakyat yang dilaksanakan di bawah mekanisme Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR).

-- BERNAMA

 

 

 


 




    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]