Berita

Pendapatan Sarawak dijangka meningkat selepas kawasan gas baharu ditemui - Abang Johari

Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg (second, right)

SEBUYAU (Sarawak), 23 Mac -- Pendapatan Sarawak daripada hasil sumber gas dan minyak dijangka akan terus bertambah berikutan penemuan kawasan gas baharu di perairan Sarawak baru-baru ini, kata Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg hari ini.

Katanya perkara itu dimaklumkan kepada beliau semasa kunjungan hormat Pengerusi Petronas Tan Sri Ahmad Nizam Salleh dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz, semalam.

“Terdapat kemungkinan penemuan dua telaga minyak baharu (selain Luconia Tengah dan Delta Baram (telaga minyak di luar perairan Sarawak),” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Jambatan Sungai Batang Lupar di sini hari ini.

Beliau, bagaimanapun enggan menyatakan maklumat terperinci dan berkata Petronas akan membuat pengumuman lanjut berkenaan perkara itu.

“Berdasarkan Perjanjian Penyelesaian Komersial kami (dimeterai antara Kerajaan Sarawak dan Petronas), kami (kerajaan negeri) akan memainkan peranan untuk mengembangkan wilayah-wilayah (yang baharu ditemukan) melalui Petros (anak syarikat milik kerajaan Sarawak),“ katanya.

Terdahulu di dalam ucapannya pada majlis itu, Abang Johari berkata pendapatan Sarawak terus bertambah berbilion ringgit sejak beliau menjadi Ketua Menteri, sekali gus membolehkan negeri ini terus membangun dan berupaya mencapai status negeri maju menjelang tahun 2030.



Beliau berkata ia sememangnya menjadi perancangan kerajaan negeri untuk membina infrastruktur jalan raya dan jambatan bagi menghubungkan seluruh negeri ini dari kawasan pesisirannya sehinggalah ke kawasan pedalaman.

"Kita akan teruskan pembangunan di luar bandar dan pedalaman dan saya amat yakin ia boleh disiapkan dalam tempoh lima hingga enam tahun akan datang," katanya.

Menurutnya menjelang 2030, selain Sarawak menjadi negeri maju, taraf hidup rakyat akan bertambah baik apabila akses ekonomi dibuka secara global dengan adanya aksesibiliti pengangkutan jalan raya dan internet.

Pembinaan Jambatan Batang Lupar yang akan menjadi jambatan terpanjang merentasi sungai di Malaysia dibina dengan kos RM848 juta. Pembinaannya bermula pada Februari lepas dan dijangka siap dalam tempoh empat tahun.

-- BERNAMA
RK HI RAM




    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]