Berita

EPU di peringkat akhir rangka Dasar Tenaga Negara - Mustapa



KUALA LUMPUR, 23 Mac  -- Unit Perancang Ekonomi (EPU) kini di peringkat akhir merangka Dasar Tenaga Negara yang berperanan sebagai agenda perancangan serta pembangunan sektor tenaga dalam usaha peralihan kepada masa depan berkarbon rendah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata dokumen terbabit berserta pelan tindakan khusus berkaitan, dijangka dapat dilancarkan pada separuh kedua 2021.

“Selain itu, dalam jangka panjang, kadar peralihan tenaga yang lebih cepat akan turut mewujudkan hala tuju tumpuan ekonomi dan penggiat industri membabitkan sumber tenaga bersih dan mampan.

“Malah, sejajar dengan komitmen negara-negara dan penggiat dalam aspek masa depan sifar karbon, kita juga menyasarkan untuk melihat pertumbuhan sumber tenaga bukan tradisional yang ketara, termasuk hidrogen selain penyelesaian yang berasaskan semula jadi,” katanya ketika berucap di Persidangan teknologi Petroleum Antarabangsa (IPTC) ke-13 secara maya di sini, pada Selasa.

Mustapa turut menegaskan bahawa kerajaan kekal komited terhadap usaha menggalakkan dan memelihara iklim pelaburan yang menarik bagi sektor huluan domestik.

Namun, katanya, pandemik COVID-19 telah mempercepat peralihan tenaga, sekali gus memberi tekanan terhadap industri minyak dan gas (O&G) untuk lebih mampan dari segi alam sekitar dengan mengurangkan pelepasan di sepanjang rantaian nilai tersebut.

Beliau berkata, selain itu wujud keperluan bagi penggiat industri untuk menunjukkan komitmen masing-masing terhadap matlamat alam sekitar, sosial dan tadbir urus yang seiring dengan masa depan lebih mampan.

Menurutnya, walaupun berdepan cabaran semasa, sektor O&G dijangka kekal sebagai sumber tenaga paling penting bagi masa depan dan kerajaan akan terus mengalu-alukan aspek pelaburan, kerjasama strategik serta perkongsian bagi membuka lebih banyak potensi nilai dalam sektor huluan Malaysia.

Malah, kata beliau, gas asli dijangka berperanan lebih kritikal dalam mempermudah peralihan tenaga dan Malaysia perlu bersedia bagi penggunaan tenaga boleh diperbaharui yang lebih cekap kos seperti solar, hidrogen dan angin.

Mustapa berkata, arang batu yang disifatkan lebih jimat sebaliknya bukan lagi menjadi pilihan di masa depan berikutan kesan buruknya terhadap alam sekitar.

“Kos penjanaan tenaga daripada sumber boleh diperbaharui ini juga akan menjadi lebih kompetitif.

“Pasaran domestik yang matang akan mewujudkan peluang lebih besar bagi pengurangan kos penjanaan tenaga boleh diperbaharui ini,” katanya.

Menurutnya, secara purata, kira-kira 20 peratus daripada hasil negara bagi tempoh 2015-2020 diperoleh daripada sektor O&G.

Dalam pada itu, lebih 3,000 profesional tenaga menyertai acara IPTC bertemakan ‘Kerjasama Progresif dan Penyelesaian Inovatif : Membentuk Masa Depan Tenaga,’ yang bermula pada Selasa hingga 1 April depan.

Persidangan itu dianjurkan oleh Petroliam Nasional Bhd dan dihoskan bersama oleh Mubadala Petroleum dan Schlumberger.

-- BERNAMA

 

 

 




    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]