Berita

PBAPP pertimbang pemasangan sistem solar bagi penjimatan kos



GEORGE TOWN, 23 Mac -- Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) sedang mencari dan mempertimbangkan pilihan bagi pemasangan sistem solar di kemudahannya yang lain untuk menjana lebih banyak penjimatan kos.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk Jaseni Maidinsa berkata ia susulan pemasangan sistem itu di Kompleks Kolam Air dan Rumah Pam Bukit Dumbar, di sini, yang dilihat mampu mengurangkan kos serta menjimatkan penggunaan elektrik.

Beliau berkata sistem 1.5 MWp (Megawatt puncak) tersebut dipasang oleh syarikat yang berpangkalan di Pulau Pinang iaitu PSB Energy Sdn Bhd (PSB), tanpa kos untuk PBAPP.

“(Tiada) bayaran untuk sistem itu, sebaliknya PBAPP menandatangani perjanjian dengan PSB untuk membayar tarif solar sebanyak 30.5 sen/kWh bagi tempoh 25 tahun.

“Tarif solar ini lebih rendah berbanding tarif komersial yang dikenakan oleh Tenaga Nasional Bhd (TNB),” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Jaseni berkata sistem solar yang dipasang di Bukit Dumbar telah menjana penjimatan bil elektrik dengan purata RM22,811.00 sebulan untuk tempoh enam bulan.

“Susulan pengoperasian sistem berkenaan pada 31 Julai, 2020 kos elektrik PBAPP turun sebanyak RM136,868.00 bagi tempoh Ogos 2020 hingga Januari 2021 berbanding kos pada Februari 2020 hingga Julai 2020. Penjimatan kos yang diunjurkan untuk setahun penuh adalah RM273,732,” katanya.

Menurut perjanjian berkenaan, PSB juga bertanggungjawab untuk menyenggarakan sistem tersebut sepanjang tempoh perjanjian.

Beliau berkata sistem pemantauan secara dalam talian juga telah dipasang di lokasi untuk memantau prestasi sistem.

Manakala bagi tujuan pengumpulan tenaga solar, sebanyak 4,586 panel solar fotovoltaik telah dipasang di atas kolam air Bukit Dumbar R2 dan R3 yang tertutup, katanya.

Jaseni berkata panel-panel yang dipasang itu akan mengubah tenaga solar kepada elektrik yang disalurkan ke transformer peningkatan kuasa 415V/11kV.

“Selepas proses itu, elektrik diagihkan kepada sistem bekalan kuasa untuk digunakan oleh Rumah Pam Bukit Dumbar 1 dan Bukit Dumbar 2.

“Melalui cara ini, elektrik yang dijana daripada langkah memanfaatkan tenaga solar di Kompleks Kolam Air dan Rumah Pam Bukit Dumbar boleh digunakan di dalam kawasan itu untuk operasi mengepam air terawat 24 jam,” katanya.

-- BERNAMA




    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]