Berita

Serba Dinamik tubuhkan Nexus Ekonomi Angkasa Baharu



KUALA LUMPUR, 17 Mac  --  Serba Dinamik  Group Bhd (SDGB) bekerjasama dengan tujuh institusi pengajian tinggi sebagai rakan strategik di Malaysia bagi menubuhkan Nexus Ekonomi Angkasa Baharu (NSEN) untuk meneroka bidang teknologi angkasa.

Memorandum kerjasama itu diadakan secara maya dengan institusi berkenaan hari ini iaitu Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), University Malaysia of Computer Science & Engineering (UniMy) dan International College of Advanced Technology Sarawak (i-CATS). 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SDGB Datuk Dr Mohd Abdul Karim Abdullah berkata kumpulan itu akan terlibat dalam usaha penyelidikan dan pembangunan untuk memangkin pertumbuhan industri itu.

Semua universiti dan kolej tempatan yang terlibat pula akan memberi fokus dan komitmen terhadap perkembangan bakat dan tenaga kerja masa depan untuk menyokong industri angkasa.

“Kerjasama ini kian dilihat sebagai medium untuk meningkatkan inovasi menerusi pertukaran pengetahuan.

“Kami mengambil inisiatif ini untuk mewujudkan peluang kepada pemain industri bagi mewujudkan kerjasama dengan universiti untuk meneroka revolusi ekonomi angkasa baharu bagi melaksanakan pelancaran ruang angkasa dan perkhidmatan jalur lebar,” katanya.

Mohd Abdul Karim berkata dalam fasa transformasi ekonomi angkasa, kumpulan itu akan mewujudkan norma baharu, keupayaan baharu dan menjalinkan kerjasama baharu.

“Kita perlu memastikan semua pihak menjalankan dan memulihara angkasa dengan bertanggungjawab dan lestari. Kita memerlukan peraturan baharu untuk mengikuti perkembangan teknologi,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan usaha bersama dengan masyarakat antarabangsa termasuk universiti dan sektor swasta untuk berkongsi amalan terbaik dan bersama-sama mewujudkan langkah memulihara angkasa sebagai tempat biasa untuk generasi masa depan di peringkat global.

" Serba Dinamik  mahu memainkan peranan utama dalam pemuliharaan antarabangsa dan menjadi saluran pemindahan teknologi dan pengetahuan.

“Kami juga boleh membantu untuk mengkaji semula kandungan, pendekatan dan prestasi teknologi yang akan dimanfaatkan dalam operasi industri kerana ia memerlukan keupayaan kejuruteraan dan teknikal yang mendalam,” kata Mohd Abdul Karim.

Beliau berkata SDGB dilengkapi dengan kemampuan yang diperlukan dan kapasiti untuk meneruskan minatnya dalam industri angkasa.

Sebagai penyedia perkhidmatan penyelesaian kejuruteraan secara keseluruhan, beliau berkata kecekapan teras SDGB adalah relevan dan rangkaian sokongannya telah membolehkan syarikat itu melangkah lebih yakin untuk memanfaatkan dan mempunyai kehadiran yang bermakna dalam industri angkasa. 

Beliau berkata syarikat itu akan menetapkan matlamat dan merangka strategik dalam inisiatif teknologi angkasa dengan mewujudkan anak syarikat khas pada suku ketiga 2021.

 Serba Dinamik  komited untuk menjadikan bahagian angkasa sebagai satu lagi unit perniagaan penting di bawah kumpulan itu.

“Sehubungan itu, kami akan melengkapkan bahagian angkasa itu dengan sumber yang diperlukan dan pakar mengenai perkara itu bagi membolehkan usaha niaga yang berjaya dalam ekonomi angkasa dan mewujudkan ekosistem yang dinamik,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 





    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]