Techfast Holdings Bhd
KUALA LUMPUR, 15 Mac -- Fast Energy Sdn Bhd (FESB), anak syarikat milik penuh Techfast Holdings Bhd yang tersenarai di Pasaran ACE, telah memeterai perjanjian dengan firma berpangkalan di Singapura, Wise Marine Pte Ltd membabitkan pembekalan minyak bahan api marin seperti minyak bersulfur rendah.
Di bawah perjanjian itu, FESB akan membekalkan 10,000 tan hingga 30,000 tan minyak bahan api marin sebulan yang menjadikan jumlah bekalan tahun penuh sehingga 360,000 tan selama tiga tahun dan dijangka bermula pada suku kedua 2021.
Menurut Techfast, berdasarkan penghantaran bulanan sebanyak 30,000 tan menggunakan purata harga jualan minyak bahan api sulfur rendah kira-kira US$500 satu tan, akan menjadikan jumlah kontrak itu bernilai kira-kira RM2.2 bilion bagi tempoh tiga tahun tersebut.
Pengarah Eksekutif Techfast Vincent Tan Wye Chuan berkata kedudukan kewangan kumpulan akan meningkat apabila cadangan langkah pelaksanaan penempatan persendirian sebanyak 75.3 juta saham-saham baharu pada harga terbitan RM0.375 selesai dan dapat menghasilkan kutipan sebanyak RM28.2 juta.
“Pada masa ini, kami mendapati wujudnya masalah kesesakan pelabuhan di Pelabuhan Klang serta pelabuhan-pelabuhan utama lain Malaysia berikutan peningkatan jumlah ketibaan kapal.
“Kontrak baharu ini akan membolehkan kami berada pada kedudukan baik untuk memacu permintaan serta pemulihan industri minyak dan gas (O&G) pasca pandemik COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Tan juga yakin aktiviti-aktiviti O&G dapat dipertingkat pada tahun ini berikutan pemulihan permintaan terhadap minyak apabila semakin banyak ekonomi dibuka susulan pelaksanaan program vaksinasi besar-besaran oleh kerajaan-kerajaan.
“Kami menjangkakan harga bahan api marin akan terus meningkat berikutan kenaikan semula harga minyak mentah Brent ke paras sebelum atau prapandemik yang kini didagangkan pada julat US$60-US$70 setong. Ini amat bersesuaian dengan pengembangan berterusan perniagaan baharu kami iaitu penyimpanan minyak,” katanya.
Selain itu, cadangan Techfast membabitkan pengambilalihan 35 peratus kepentingan dalam CCK Petroleum Sdn Bhd -- sebuah syarikat pembekal berpangkalan di Malaysia, pada harga RM26.25 juta, akan turut membolehkan Techfast memperluas skop perkhidmatan serta meningkatkan bahagian pasaran industri bahan api marin, kata Tan.
Pengambilalihan itu dijangka selesai menjelang akhir Mac 2021.
“Bagi kemajuan masa depan, kami akan terus membina asas-asas bagi pertumbuhan jangka panjang. Kami juga sedang dalam proses membida lebih banyak kontrak untuk meningkatkan jumlah tempahan selain melaksanakan inisiatif-inisiatif strategik bagi memperkukuh jumlah pendapatan,” katanya.
-- BERNAMA
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]