Berita

Serba Dinamik cadang tubuh anak syarikat baharu uruskan penglibatannya dalam industri angkasa

Datuk Dr Mohd Abdul Karim Abdullah, Serba Dinamik Group Bhd group managing director

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 Mac --  Serba Dinamik  Group Bhd berhasrat menubuhkan sebuah anak syarikat baharu pada suku ketiga tahun ini bagi menjayakan penerokaan syarikat dalam industri angkasa.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Dr Ir Mohd Abdul Karim Abdullah berkata anak syarikat itu akan menguruskan penglibatannya dalam industri baharu menerusi peningkatan kapasiti melalui kerjasama dengan pelbagai agensi dan peserta/pemain antarabangsa.

"Bagaimanapun, seiring dengan perniagaan kami yang kian meningkat dan kehadiran kami dalam industri turut berkembang, kami akan melihat kepada keperluan perniagaan dan mencari penyelesaian terbaik yang dapat memberi manfaat kepada kumpulan bagi memastikan kelangsungan perniagaan," kata Mohd Karim kepada Bernama.

Baru-baru ini, kumpulan perkhidmatan tenaga itu telah mengumumkan kerjasamanya dengan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) untuk memperkukuhkan lagi pembangunan ekonomi dan industri angkasa Malaysia.

Kumpulan itu berkata Malaysia masih belum menyertai ‘ekonomi angkasa baharu’ walaupun sudah bersedia untuk melakukannya.

MYSA telah mengambil inisiatif melalui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan memperkenalkan Rang Undang-undang Lembaga Angkasa Malaysia 2020, yang dibentangkan bagi bacaan pertama tahun lepas.

Mohd Karim berkata  Serba Dinamik  merancang untuk menerokai bidang ekonomi angkasa kerana ia akan menghubungkan titik-titik dari segi teknologi maklumat dan komunikasi, yang merupakan antara kecekapan teras dalam kumpulan, melalui kesalinghubungan internet ke kawasan-kawasan dalam negara  yang tidak dapat dihubungi dengan menggunakan teknologi satelit untuk kesalinghubungan.

“Ini diperlukan bagi menyokong pelbagai inisiatif kumpulan mengenai teknologi sempadan yang memerlukan saling hubung jalur lebar dan internet untuk merealisasikan penggunaannya," tambahnya beliau.

Mohd Karim turut maklum bahawa menyediakan kemudahan dan infrastruktur akan membuka pasaran yang lebih besar untuk industri berkaitan yang lain di bawah Revolusi Industri Keempat (IR4.0).

"Ia juga memberikan sumbangan dari segi pembangunan negara, yang merupakan hasrat kerajaan pada masa ini untuk menyediakan kesalinghubungan kepada seluruh masyarakat,” tambahnya.

Mohd Karim berkata, peranan MYSA adalah memberi sokongan teknikal penasihat dalam organisasi untuk membantu  Serba Dinamik  merealisasikan objektifnya dan serterusnya bertapak dalam ekonomi angkasa.

 Serba Dinamik  turut memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan SWISSto12, syarikat yang berpangkalan di Switzerland dan pakar dalam teknologi untuk menghasilkan komponen yang digunakan dalam satelit melalui teknologi percetakan 3D.

Dengan MOU itu, SWISSto12 dijangka dapat menyediakan sokongan kepada  Serba Dinamik  dan rakan niaga dalam inisiatif angkasa mereka.

"Menerusi kerjasama ini juga,  Serba Dinamik  akan meningkatkan kemampuannya dalam bidang kejuruteraan bernilai tinggi yang amat diperlukan untuk menyokong ekonomi ruang angkasa," kata Mohd Karim.

Beliau menambah kumpulan itu juga akan memupuk tenaga kerja dengan memberikan latihan dan pendidikan untuk mewujudkan profesional yang kompeten dan berkemahiran dalam industri angkasa bagi memastikan Malaysia mempunyai tenaga kerja yang diperlukan untuk menyokong industri yang sedang berkembang ini.

"Kami juga akan berusaha untuk memindahkan pengetahuan daripada pemain industri melalui kerjasama kami dengan pemain antarabangsa dalam bidang ini. Pemindahan pengetahuan ini akan membantu  Serba Dinamik  untuk memperoleh kemampuan kejuruteraan bernilai tinggi yang memastikan  Serba Dinamik  dapat menjadi salah satu pemain utama dalam industri angkasa lepas,” ujar Mohd Karim.

Ditanya sama ada dengan penerokaan baharu ini, kumpulan itu merancang untuk keluar dari perniagaan minyak dan gas, Mohd Karim berkata  Serba Dinamik  akan mengekalkan kehadirannya dalam industri berkenaan.

"Kehadiran  Serba Dinamik  dalam industri minyak dan gas akan berterusan manakala ekonomi angkasa akan turut serta sebagai satu lagi penyumbang utama kepada pendapatan kumpulan ini.  Serba Dinamik  akan bertambah besar dan kuat dengan bidang baharu ini yang akan memastikan kelestarian kumpulan," tambahnya.

-- BERNAMA





    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]