KUALA LUMPUR, 5 Mac -- Bekalan elektrik di kesemua 40 Pusat Simpanan Vaksin (PSV) dan lebih 400 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang beroperasi di seluruh Semenanjung Malaysia berada dalam keadaan baik sejak pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) pada 24 Feb.
Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian Tenaga Nasional Bhd (TNB) Wan Nazmy Wan Mahmood berkata ia berikutan usaha-usaha senggaraan awal oleh TNB di PSV dan PPV dengan kerjasama baik Kementerian Kesihatan (KKM) serta pihak hospital dan klinik kesihatan.
"Di setiap pusat, kami menempatkan pasukan teknikal bagi membuat kerja senggaraan awal untuk memastikan bekalan adalah stabil dan jika berlaku gangguan, ia dapat dipulihkan dalam tempoh minimum.
"Kerja-kerja senggaraan melibatkan pencawang dan pembekalan elektrik ke pusat penyimpanan vaksin itu yang dilakukan sejak awal Februari adalah antara aspek kritikal bagi menjayakan program imunisasi ini," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata TNB bersama pihak hospital dan klinik kesihatan juga telah memastikan set jana kuasa di pusat-pusat perubatan terlibat berfungsi dan bersedia untuk beroperasi sekiranya diperlukan.
"Pasukan kami sentiasa membuat rondaan di semua PSV dan PPV di Semenanjung dan akan segera ke pusat yang berlaku gangguan bekalan bagi membantu memulihan bekalan secepat mungkin," kata Wan Nazmy.
Menurutnya lagi, set-set jana kuasa bergerak TNB juga bersedia untuk digerakkan serta-merta ke lokasi PSV dan PPV bagi memastikan tindakan pantas boleh diambil.
Wan Nazmy berkata selain penyelenggaraan aset dan ketersediaan pasukan teknikal, TNB turut menyediakan dua saluran perhubungan khusus (talian khas) kepada pusat penyimpanan vaksin bagi membolehkan komunikasi pantas dengan TNB jika berlaku gangguan.
"Sekiranya orang ramai menyedari sebarang kejanggalan pada pepasangan TNB atau ingin melaporkan gangguan bekalan, sila hubungi talian TNB CareLine 15454," katanya.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 24 Feb menerima suntikan vaksin COVID-19, menandakan bermulanya PICK dengan sasaran memberikan imunisasi secara percuma kepada penduduk negara ini, baik rakyat tempatan mahupun warga asing.
-- BERNAMA
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]