Berita

Petronas meterai lembaran terma PPA dengan Sarawak Energy



KUCHING, 4 Mac -- Sarawak Energy Bhd memeterai lembaran terma perjanjian pembelian tenaga (PPA) dengan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) pada Khamis untuk menyediakan bekalan tenaga 90 megawatt (MW) kepada kompleks Malaysia LNG di Tanjung Kidurong, Bintulu selama 20 tahun.

Dokumen itu ditandatangani oleh Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysia LNG Group of Companies dan Petronas LNG Bhd, Mohamed Syazwan Abdullah yang mewakili Petronas dan Sarawak Energy Group diwakili CEO, Datuk Sharbini Suhaili.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang menyaksikan pemeteraian itu berkata majlis tersebut menandakan satu lagi pencapaian penting dalam hubungan di antara Sarawak Energy dengan Petronas.

Beliau menjelaskan langkah berkenaan membolehkan Sarawak terus berkongsi sumber tenaga boleh baharunya dengan peserta tenaga lain dalam membangunkan masa depan tenaga lestari.

“Komitmen untuk menyediakan bekalan tenaga 90MW kepada kompleks Malaysia LNG di Tanjung Kidurong selama 20 tahun membuktikan keyakinan bukan sahaja terhadap kemampuan Sarawak Energy dalam menyediakan tenaga malah keyakinan Petronas bagi operasi jangka panjang mereka di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata Perjanjian Penyelesaian Komersial (CSA) yang dimeterai pada 7 Dis, 2020 di antara Petronas dengan Sarawak akan menjadi petunjuk bagi perkongsian kedua-dua pihak dalam pembangunan hiliran dan huluan sumber minyak dan gas di Sarawak untuk manfaat bersama.

“Pemeteraian hari ini juga didorong Memorandum Persefahaman yang ditandatangani (pada 10 Nov) tahun lepas antara kedua-dua pihak (Petronas dan Sarawak Energy) untuk bersama-sama meneroka pengeluaran hidrogen hijau secara komersial ke arah memajukan ekonomi hidrogen hijau di negeri ini dan luar Sarawak.

“Lembaran Terma hari ini mengesahkan semula kedudukan Sarawak sebagai destinasi ideal bagi pelaburan dipacu kelestarian,” katanya.

Abang Johari berkata Sarawak terus menjadi antara lima destinasi pelaburan utama dalam negara apabila merekodkan pelaburan bernilai RM19.6 bilion tahun lepas.

Beliau berkata kerajaan negeri akan memastikan semua pembangunan dalam usaha mewujudkan ekonomi berpendapatan tinggi di negeri ini akan dilaksanakan secara bertanggungjawab dan mampan.

“Kita berusaha mencapai keseimbangan di antara pembangunan sosioekonomi dengan kesejahteraan alam sekitar.

“Ini ditunjukkan menerusi keputusan kita untuk menumpukan pembangunan tenaga hidro boleh baharu sebagai antara pemboleh untuk mencapai status berpendapatan tinggi menjelang 2030 menerusi Koridor Tenaga Boleh Diperbaharu (SCORE) pada 2009,” katanya.

-- BERNAMA

 





    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]