Berita

TNB teroka pasaran tenaga boleh diperbaharui Vietnam



KUALA LUMPUR, 4 Mac -- Tenaga Nasional Bhd (TNB) dalam usaha menguasai pasaran tenaga boleh diperbaharui Vietnam akan bekerjasama dengan Sunseap Group, Singapura melalui subsidiarinya, TNB Renewables Sdn Bhd dalam projek berkapasiti 21.6 MW yang merangkumi lima loji solar di negara itu.

TNB dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata ia juga akan memperoleh 39 peratus kepentingan dalam projek itu daripada Sunseap Group. 

Pengambilalihan tersebut menandakan pencapaian terpenting bagi TNB kerana ini beerti ia sedang memperluaskan jangkauan tenaga boleh diperbaharui antarabangsanya ke Asia Tenggara.

"Sebelum pengambilalihan ini, kehadiran global TNB dalam tenaga boleh diperbaharui hanya terdiri daripada jumlah portfolio sebanyak 2,732.3MW di Malaysia (termasuk 2,536.1MW hidro besar) serta 666MW di United Kingdom, Turki dan India yang merangkumi solar, angin dan aset penjanaan tenaga hidro.

"TNB mahu mengembangkan portfolio tenaga boleh diperbaharui kepada 8,300MW menjelang 2025 (termasuk hidro besar)," katanya. 

Projek itu telah memperoleh Tarif Suapan (FiT) di bawah skim FiT2 di Vietnam yang bertujuan untuk menggalakkan pelaburan dalam sumber tenaga boleh diperbaharui melalui tarif berkadar lumayan dan di atas pasaran.

"Selepas mencapai tarikh operasi komersial pada Disember 2020, kesemua lima loji tersebut adalah di bawah Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) 20 tahun dengan syarikat utiliti pemilikan kebangsaan, Vietnam Electricity, untuk membekalkan tenaga bersih ke grid nasional negara," katanya. 

Sunseap kini memegang 90 peratus kepentingan dalam projek-projek berkenaan, yang akan dikurangkan kepada 51 peratus apabila selesai pengambilalihan 39 peratus kepentingan oleh TNB Renewables yang dijadualkan berlaku pada suku pertama tahun ini. 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Baharin Din berkata pengambilalihan itu akan berfungsi sebagai tapak bagi TNB mewujudkan kehadiran serta penguasaannya ke dalam pasaran tenaga boleh diperbaharui dan utiliti yang berkembang pesat di Vietnam.

"Pengambilalihan ini terbina daripada kerjasama rentas sempadan Malaysia-Singapura sebelum ini dengan Sunseap dan mencerminkan komitmen kami untuk mengubah TNB menjadi peneraju tenaga boleh diperbaharui dan utiliti serantau," katanya. 

Sunseap merupakan syarikat solar yang terbesar di Singapura serta terkemuka di Asia Tenggara dengan perniagaan solar bersepadu termasuk kehadiran dalam segmen peruncitan tenaga. Ia mempunyai kapasiti bersih 1.2GW merentasi 11 pasaran dan lebih daripada 200 aset dalam pelbagai peringkat pembangunan. 

Projek solar di atas bumbung berskala 21.6MW itu akan menambah skala ladang solar berkapasiti 168MW Sunseap yang dibina di Vietnam pada 2019, dan ia kini sedang membangunkan lebih 650MW projek tambahan di Vietnam.

-- BERNAMA





    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]