Berita

TNB luaskan jejak RE antarabangsa menerusi kerjasama Sunseap Group Singapura



KUALA LUMPUR, 2 Mac -- Tenaga Nasional Bhd (TNB) melalui anak syarikat milik penuhnya, TNB Renewables Sdn Bhd memeterai kerjasama lembaran terma terikat dengan Sunseap Group untuk memanfaatkan pasaran tenaga boleh diperbaharu (RE) dan perjanjian pembelian tenaga (PPA) korporat di Singapura.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Baharin Din berkata kerjasama dengan syarikat berpangkalan di Singapura itu merupakan pencapaian penting bagi peluasan jejak RE antarabangsa TNB ke Asia Tenggara.

“Ini akan menjadi langkah pertama TNB menembusi pasaran RE Singapura dan kami akan berada di kedudukan yang baik untuk memanfaatkan segmen PPA korporat yang menarik dan semakin berkembang pesat.

“Kerjasama ini juga tepat pada masanya dengan jangkaan pembukaan tender oleh Penguasa Pasaran Tenaga Singapura untuk percubaan bekalan tenaga rentas sempadan Malaysia-Singapura yang dijangka dilancarkan pada Mac 2021,” katanya dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Selasa.

Beliau berkata kerjasama dengan Sunseap, antara syarikat utama di Asia Tenggara bagi penjanaan solar di kawasan bumbung bangunan dan kediaman, akan menumpukan pelanggan strategik seperti syarikat RE100, firma multinasional dan data, untuk memacu peningkatan permintaan tenaga bersih dan hijau di rantau ini pada tahun-tahun akan datang.

Setakat ini, jumlah portfolio RE TNB merangkumi 2,732.3MW di Malaysia dan 666MW di United Kingdom (UK), Turki dan India yang meliputi terutama aset penjanaan tenaga hidro, angin dan solar.

“Susulan kejayaan pelaburan kami dalam perniagaan RE di UK melalui Vortex Solar dan Tenaga Wind Ventures, kerjasama dengan Sunseap juga menjadi langkah penting untuk meneruskan strategi peluasan RE antarabangsa kami,” katanya.

Baharin berkata kerjasama itu juga menyediakan platform serantau yang kukuh dengan keupayaan, kapasiti dan rangkaian untuk mengembangkan perniagaan RE dan utiliti TNB di Asia Tenggara.

TNB menyasar untuk melonjakkan portfolio RE keseluruhannya kepada 8,300MW (termasuk hidro besar) menjelang 2025.

-- BERNAMA





    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]