Berita

Johor akan jadi pengeluar utama tenaga solar di Asia Tenggara



JOHOR BAHRU, 28 Feb -- Johor akan menjadi pengeluar utama tenaga mesra alam di Asia Tenggara menerusi pembukaan taman tenaga solar di Pengerang, Kota Tinggi dengan kos projek bernilai RM1.4 bilion.

Projek tersebut, yang diberi nama ‘Taman Solar Sultan Ibrahim’, akan menjadi yang terbesar seumpamanya di rantau ini dengan kapasiti 450 megawatt, menurut catatan di laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada Ahad.

Projek pelaburan swasta berskala besar pertama yang diperoleh Johor bagi 2021 itu adalah atas usaha Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar yang sentiasa mengalakkan pelaburan dan pembangunan ekonomi untuk rakyat dan negeri.

Projek berkenaan juga seiring dengan Pelan Pembangunan Mampan Johor 2030 yang mengutamakan kelestarian alam sekitar dalam pembangunan ekonomi dan kemakmuran hidup rakyat, menurut catatan tersebut.

Dalam titah kepada Pejabat Media dan Komunikasi Keluarga DiRaja Johor (RPO) pada Ahad, Sultan Ibrahim bertitah projek tersebut akan memberi impak kepada pembangunan ekonomi negeri, dengan penawaran kerja kepada pelbagai peringkat memandangkan projek ini turut akan menjadi sistem penyimpanan tenaga solar terbesar di rantau ini apabila beroperasi sepenuhnya menjelang 2023.

“Projek ini bukan sahaja berupaya meningkatkan pertumbuhan ekonomi, malah berupaya menjadikan Johor antara pengeluar penting tenaga boleh diperbaharu secara mesra alam di peringkat antarabangsa,” titah baginda.

Baginda bertitah keupayaan pengoperasian projek berkenaan, secara tidak langsung akan menjadikan Johor sebagai pengeluar utama tenaga solar berskala besar di samping menitikberatkan kelestarian serta persekitaran hijau yang lebih bersih.

Baginda turut bersyukur kerana Johor antara negeri dianugerahkan waktu pancaran matahari yang tinggi.

“Sudah sampai masanya, kita meneroka sumber ini untuk meningkatkan kapasiti penjanaan kuasa serta menyumbang kepada penghasilan tenaga boleh diperbaharu,” titah baginda.

Sultan Ibrahim dijangka berkenan menyempurnakan majlis pecah tanah Taman Solar Sultan Ibrahim pada 23 Mac ini, di tapak projek di Pengerang.

-- BERNAMA




    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]