Berita

Keuntungan bersih Serba Dinamik melonjak kepada RM631.7 juta



KUALA LUMPUR, 26 Feb --  Serba Dinamik  Holdings Bhd mencatat keuntungan bersih lebih tinggi kepada RM631.74 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 (TK20) berbanding RM496.64 juta bagi tempoh sama 2019 (TK19).

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Jumaat, kumpulan itu berkata perolehan hasilnya turut meningkat kepada RM6.01 bilion daripada RM4.53 bilion sebelum ini.

Segmen operasi dan penyelenggaraan (O&M) telah menyumbang sebanyak RM5.04 bilion kepada hasil bagi TK20 iaitu merangkumi 83.9 peratus daripada hasil kumpulan dengan sebahagian besar daripada menerusi kerja-kerja di Malaysia, Oman, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE). 

Keuntungan kasar O&M adalah sebanyak RM899.4 juta bagi TK20 manakala hasil dan keuntungan kasar segmen kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) masing-masing pada RM590.9 juta dan RM87.6 juta dengan kebanyakannya disumbangkan oleh kontrak di Malaysia, Turkmenistan dan UAE.

Selain itu, aktiviti segmen perniagaan teknologi, komunikasi dan maklumat (ICT) serta pendidikan dan latihan (E&T) turut mencatat pertumbuhan melebihi 100 peratus dengan hasilnya melonjak masing-masing kepada RM376.0 juta dan RM3.6 juta.

Keuntungan kasar bagi kedua-dua segmen perniagaan itu juga meningkat kepada RM43.9 juta dan RM0.8 juta berbanding tahun kewangan sebelum ini.

Sementara itu dalam kenyataan berasingan, Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Mohd Karim Abdullah berkata walaupun dalam persekitaran mencabar akibat pandemik COVID-19, kumpulan itu terbukti mencatat peningkatan dalam prestasi kewangan bagi TK20 berbanding TK19.

“Kami berjaya mencapai prestasi kukuh daripada kedua-dua segmen O&M dan EPCC. Ini terutamanya disebabkan oleh komitmen serta tumpuan terhadap teras kecekapan kami ketika terus berkembang di peringkat tempatan serta antarabangsa,” kata beliau.

Mohd Karim juga menyifatkan segmen ICT turut merekodkan pencapaian memberangsangkan yang mana lima terasnya telah dipertingkat dengan turut merangkumi pengkomputeran awan/pusat data, teknologi kewangan, kecerdasan pintar, keselamatan siber dan teknologi terkini.

"Kesemua teras ini memaparkan dedikasi kami untuk mengembangkan segmen ini secara agresif bagi mewujudkan satu lagi saluran pendapatan bukan minyak dan gas. Dalam usaha pelaksanaan transformasi digital, kami juga harus memanfaatkan peluang ini serta melakukan inovasi model perniagaan baharu bagi menghasilkan punca pendapatan baharu agar kekal mampan,” katanya.

Bagi tempoh suku keempat 2020,  Serba Dinamik  merekodkan keuntungan bersih lebih tinggi kepada RM202.15 juta berbanding RM140.88 juta bagi tempoh sama pada TK19.

Perolehan hasilnya meningkat kepada RM1.82 bilion pada suku keempat TK20 daripada RM1.36 bilion pada suku keempat TK19 yang mana peningkatan itu dipacu oleh segmen O&M kumpulan.

Sementara itu, Mohd Karim turut berkongsi kejayaan  Serba Dinamik  memperoleh sebanyak 11 projek di Malaysia, Indonesia dan India setakat tahun ini.

“Kontrak-kontrak ini memberi momentum untuk kami memulakan 2021. Kami akan terus berusaha gigih dan memberi komitmen untuk terus mencatat prestasi lebih baik dan yakin dengan kemampuan kumpulan untuk meraih keputusan mantap bagi tahun kewangan 2021,” kata beliau.

-- BERNAMA

 


 


 




    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]