Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid
KUALA LUMPUR, 23 Feb -- Oleh kerana kesedaran, penggunaan dan permintaan daripada pasaran untuk tenaga solar kian meningkat, peruntukan kuota 500 megawatt (MW) untuk Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) 3.0 akan menjadi lebih baik sekiranya ia ditambah kepada 1 GW memandangkan tenaga solar telahpun berkembang pesat.
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Plus Solar Systems Sdn Bhd, Ko Chuan Zhen berkata ini selepas kejayaan besar NEM 2.0 dalam industri tenaga boleh diperbaharui yang mana kuota 500MW telah dilanggan sepenuhnya beberapa minggu menjelang tarikh akhir skim berkenaan pada 31 Dis, 2020.
"Kerajaan begitu berpandangan jauh dalam melanjutkan NEM 3.0 yang tentunya akan mendorong lebih banyak individu dan korporat untuk menyesuaikan diri dengan Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (SDG PBB) dan menjunjung tinggi tujuan negara bagi memenuhi pembangunan lestari secara keseluruhan dan memerangi kesan perubahan iklim.
“Oleh itu, bagi 'Net Offset Virtual Aggregation (NOVA)' NEM untuk bangunan komersial dan perindustrian, ia adalah harga marginal sistem di mana kadar eksport tidak begitu menarik dibandingkan dengan 1:1 yang ditawarkan oleh NEM GoMEn (Kementerian dan Entiti Kerajaan) dan NEM Rakyat, ” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual baru-baru ini.
Ko berkata walaupun garis panduan rasmi belum diumumkan, adalah lebih baik memperuntukkan 1: 1 atau lebih untuk menggalakkan penggunaan solar dalam kalangan pengeluar.
"Ini adalah terutamanya hala tuju negara dalam memenuhi standard pembangunan mampan secara keseluruhan seperti yang digariskan dalam Belanjawan 2021," tambahnya.
Pada bulan Disember 2020, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah mengumumkan NEM 3.0, yang berkuat kuasa mulai 2021 hingga 2023 akan mempunyai tiga program baharu iaitu NEM Rakyat, NEM GoMEn dan NOVA.
Di bawah NEM Rakyat, pengguna kediaman, yang telah memasang sistem fotovolta (PV), akan menikmati kadar offset "satu-ke-satu" selama 10 tahun dan mereka akan mempraktikkan konsep penggunaan sendiri setelah tempoh berakhir.
Nisbah offset 1:1 bermaksud satu kredit bersamaan sehingga RM0.51 per kilowatt untuk tarif domestik.
Memetik laporan berita yang dikeluarkan oleh Wood Mackenzie, Ki berkata solar kini merupakan bentuk baharu elektrik yang paling murah di beberapa negara, dan kos solar PV boleh turun 25 peratus lagi dalam dekad akan datang.
Firma penyelidikan dan perundingan tenaga itu juga menyatakan kos solar telah menyusut 90 peratus dalam tempoh dua dekad lepas dan diunjurkan untuk turun 15 peratus hingga 25 peratus lagi menjelang 2030.
“Di dalam negeri, sebagai penggiat tenaga boleh diperbaharui tempatan di pasaran, kami turut merasakan angin perubahan dengan tempoh bayar balik solar dipendekkan dari 10 tahun kepada tiga tahun.
"Ini dibolehkan melalui subsidi kerajaan, kemajuan teknologi panel solar dan usaha bersama penggubal dasar, media, institusi kewangan dan peserta industri tenaga boleh diperbaharui," katanya.
-- BERNAMA
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]