Berita

SPG sedia salur 1,440MW bekalan elektrik kepada grid nasional menerusi dua CCGT - TNB



KUALA LUMPUR, 19 Feb  -- Southern Power Generation Sdn Bhd (SPG) bersedia menyalurkan 1,440 megawatt (MW) bekalan elektrik kepada grid nasional menerusi dua loji Turbin Gas Kitaran Bergabung (CCGT), masing-masing berkapasiti 720MW.

Pengarah Urusan TNB Power Generation Sdn Bhd Datuk Nor Azman Mufti berkata SPG kini boleh beroperasi pada tahap penuh kapasiti penjanaannya berikutan unit kedua (Unit 2) CCGT mencapai tarikh operasi komersial (COD) pada 12 tengah malam ini.

"Unit 1 juga mencapai tarikh operasi komersial pada 1 Jan lepas, dengan tercapai COD Unit 2 ini, sejumlah 720MW lagi penjanaan disalurkan kepada kapasiti penjanaan sedia ada di Semenanjung Malaysia, membawa jumlah keseluruhan penjanaan kepada 25,962MW.

“Terima kasih. Kita telah menjadikan ia satu pencapaian bermakna buat TNB dalam menjayakan projek-projek utama negara," katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Nor Azman berkata kejayaan SPG dapat dilakukan hasil usaha kerjasama dan sokongan pihak berkepentingan termasuk pengawal selia, pihak berkuasa, rakan projek, pemodal dan kontraktor.

Beliau berkata kedua-dua loji itu terletak secara strategik di Pasir Gudang, Johor yang berperanan penting dalam mengukuhkan kestabilan bekalan elektrik di Semenanjung Malaysia.

Kedua-dua loji berkenaan, jelasnya, dikendalikan dan disenggara sepenuhnya oleh anak syarikat TNB Power Generation Sdn Bhd iaitu REMACO.

TNB Power Generation adalah anak syarikat milik penuh TNB yang membangun, mengendali serta menyelenggara portfolio unit penjanaan tenaga milik TNB.

SPG membekalkan tenaga kepada TNB menerusi Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA).

"Kedua-dua lojinya menggunakan gas asli sebagai bahan bakar utama. Bekalan elektrik yang dijana menggunakan teknologi turbin pembakaran 9HA.02 daripada General Electric (GE) yang dijangka mencapai kecekapan loji kitar padu melebihi 60 peratus.

"SPG adalah loji janakuasa komersial pertama di dunia yang menggunakan turbin gas 9HA.02 terbaharu dan paling cekap dihasilkan GE," katanya.

Beliau berkata TNB dan TNB Power Generation memiliki saham majoriti sejumlah 70 peratus dalam SPG sementara SIPP Energy Sdn Bhd memegang baki 30 peratus.

-- BERNAMA





    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]