Berita

Sapura dapat kontrak dengan nilai gabungan RM1.85 Bilion

Credit: www.sapuraenergy.com

KUALA LUMPUR, 10 Feb -- Sapura Energy Bhd berjaya mendapat kontrak melalui bahagian penggerudian serta kejuruteraan dan pembinaan (E&C) dengan nilai gabungan kira-kira RM1.85 bilion.

Anugerah itu merangkumi kontrak Arahan Pembelian 59 (CRPO 59) daripada Saudi Arabian Oil Company (Saudi Aramco), yang dikeluarkan di bawah perjanjian jangka panjang yang ditandatangani dengan pengeluar minyak dan gas itu, katanya. 

Sapura Energy dalam satu kenyataan hari ini berkata CRPO 59 diberikan kepada Sapura Fabrication Sdn Bhd dan Sapura Arab Saudi Company, melibatkan projek dalam medan minyak Zuluf, Ribyan dan Abu Safah di luar pesisir Arab Saudi. 

Skop kerjanya termasuk kejuruteraan, perolehan, fabrikasi, pemasangan dan pengangkutan serta pra-pentauliahan kerangka jaket bagi tiga platform telaga baharu di tiga medan minyak tersebut, yang dijangka siap menjelang suku pertama 2022.

"Kami berbesar hati apabila dianugerahkan kontrak CRPO 59 oleh Saudi Aramco, salah satu pengeluar minyak dan gas terbesar di dunia. 

"Ini adalah kemenangan penting bagi Sapura Energy, sekali gus, membuktikan keupayaan teknikal kami. Ia juga mengukuhkan lagi strategi kami dalam mengembangkan perniagaan serta kehadiran kami di Timur Tengah," kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Shahril Shamsuddin. 

Dalam satu makluman lain, di Thailand, Sapura Energy (Thailand) Ltd telah memperoleh kontrak pemasangan platform kepala telaga dan saluran paip termasuk pembuangan platform kepala telaga daripada Chevron Thailand Exploration and Production Ltd, Chevron Offshore (Thailand) Ltd dan Chevron Pattani Ltd.

"Kerja-kerja ini dijangka siap menjelang suku keempat tahun kewangan 2022," katanya. 

Di Malaysia, kumpulan itu berkata Sapura Offshore Sdn Bhd telah dianugerahkan kerja-kerja pengangkutan dan pemasangan saluran paip luar pesisir di bawah kontrak Pengangkutan dan Pemasangan Fasiliti Luar Pesisir Pan Malaysia, oleh PTTEP Sarawak Oil Ltd. 

"Skop kontrak kerja merangkumi pengangkutan dan pemasangan kira-kira 10 kilometer saluran paip bawah air, luar pesisir Sarawak. Kerja-kerja ini dijangka selesai menjelang Mei 2021," katanya.

Sapura Offshore juga memenangi sub-kontrak untuk pengangkutan dan pemasangan kerangka platform telaga dan struktur atasnya di Projek Pembangunan Gas Kasawari, oleh Heerema Marine Contractors dengan skop kerja yang terdiri daripada pengurusan projek, perolehan dan sub-kontrak serta kerja-kerja kejuruteraan yang dijangka siap menjelang suku kedua 2021. 

Sapura Geosciences Sdn Bhd pula telah menerima surat anugerah daripada Petronas Carigali Sdn Bhd untuk penyediaan perkhidmatan kajian tapak laut dan tinjauan laluan saluran paip di medan Bestari, luar pesisir Sabah, kerja-kerja ini dijangka selesai menjelang suku kedua tahun kewangan 2022, katanya.

Sementara itu, Sapura Baker Hughes TPS Sdn Bhd telah memenangi kontrak daripada Malaysia LNG Sdn Bhd untuk penyelenggaraan komprehensif peralatan mesin turbo yang dibekalkan Baker Hughes di bawah perjanjian perkhidmatan jangka panjang. 

"Kontrak selama sembilan tahun setengah ini akan berkuat kuasa mulai Februari 2021," katanya. 

Dalam satu nota lain, kumpulan itu berkata bahagian penggerudiannya juga terus menunjukkan kebolehpercayaan sebagai rakan kongsi minyak dan gas yang amat dipercayai.

Sapura Drilling Sdn Bhd, entiti kumpulan di Brunei, telah memperolehi lanjutan kontrak untuk pelantar penggerudian separa tenggelam, Sapura Pelaut, daripada rakan kongsinya, Brunei Shell Petroleum Co Sdn Bhd. 

"Lanjutan kontrak Sapura Pelaut meliputi tempoh selama 145 hari bermula April 2021 di perairan Brunei. Sapura Pelaut telah beroperasi di sana selama hampir 27 tahun," tambahnya.

-- BERNAMA

 

 


 





    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]