KUALA LUMPUR, 10 Feb -- Petronas dijangka mencatat kemajuan penting dalam operasi autonomi yang bertujuan mengoptimumkan sumber serta meminimumkan pendedahan pekerja kepada ancaman bahaya.
Menurut syarikat petroleum dan gas negara itu, usaha itu dilakukan menerusi langkah mewujudkan ujian serta percubaan lapangan industri berdasarkan teknologi ‘Open Process Automation Standard’ (Proses Automasi Terbuka Standard) atau O-PAS di kemudahan latihan Institut Teknologi Petroleum Petronas (INSTEP) di Batu Rakit, Terengganu.
“Percubaan lapangan O-PAS itu misalnya akan menguji aspek kebolehoperasian, keselamatan siber dan fungsi lanjutan pelbagai vendor sistem itu dalam aplikasi dunia sebenar.
“Ini termasuk penilaian penggunaan teknologi 5G dan kemampuannya dalam teknologi Open Process Automation (Proses Terbuka Automasi) atau OPA, penyepaduan internet pelbagai benda (IoT) industri yang menjadi sebahagian daripada inisiatif liberalisasi data, penyelenggaraan dan integrasi pelbagai operasi autonomi atau terpencil serta Sistem Kawalan Agihan sebagai platform pengkomputeran aliran fiskal,” katanya.
Petronas juga telah memilih untuk bekerjasama dengan Yokogawa iaitu penyedia penyelesaian automasi industri terkemuka global.
Kerjasama itu akan memperkukuh ketersediaan digital Petronas bagi model operasi Industri 4.0 yang disokong oleh kepakaran serta rangkaian global Yokogawa.
Malah, kerjasama tersebut merupakan satu pencapaian bermakna menerusi pemeteraian memorandum persefahaman antara kedua-dua syarikat itu tahun lepas yang membabitkan bidang kecemerlangan operasi, pengaturan perniagaan, pendidikan, pembangunan modal insan dan keupayaan.
Naib Presiden Kanan Pelaksanaan Projek dan Teknologi Petronas Samsudin Miskon menyifatkan kerjasama itu seiring dengan transformasi digitalisasi teknologi yang dijalankan untuk memenuhi sasaran perniagaan kumpulan serta keperluan tenaga pelanggan yang semakin meningkat.
“Sejajar dengan cabaran semasa dalam ekosistem tenaga serta lonjakan peralihan tenaga, Petronas sentiasa bergerak untuk mewujudkan penambahbaikan dalam kecekapan operasi serta mengurangkan jejak karbon demi masa depan yang mapan,” katanya.
Di bawah kerjasama itu, penglibatan dengan pembekal pihak ketiga, pengendali lain dan Universiti Teknologi Petronas akan diterokai bagi memberi manfaat kepada Petronas dan industri automasi di rantau Asia Pasifik.
Kemunculan teknologi automasi berdasarkan O-PAS ini menjanjikan platform perkongsian secara terbuka, sekaligus meningkatkan aspek ketangkasan liberalisasi data serta membolehkan model operasi baharu pada kos lebih rendah.
“Perkongsian data dan pengetahuan akan mempercepatkan pembangunan teknologi untuk manfaat semua,” kata Sharul A Rashid daripada pihak berkuasa teknikal (instrumen dan kawalan) kumpulan Petronas.
Petronas dan Yokogawa merupakan anggota Kumpulan Forum Proses Automasi Terbuka (OPAF) iaitu sebuah kumpulan menghimpukan pengguna akhir, penyepadu sistem, pembekal, ahli akademik dan pertubuhan standard yang bekerjasama bagi membangunkan spesifikasi menggunakan teknologi berkaitan bagi sistem kawalan proses akan datang -- DCS masa depan.
Sebaik perincian sepenuhnya selesai, O-PAS akan membolehkan pembangunan sistem automasi yang selamat, berwibawa serta proses berskala dengan kebolehlaksanaan tinggi bagi operasi sedia ada dan baharu.
-- BERNAMA
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]