Berita

Tawaran saham persendirian Serba Dinamik untuk jana pertumbuhan



KUALA LUMPUR, 20 Jan  --  Serba Dinamik  Holdings Bhd berkata cadangan tawaran penempatan persendiriannya akan membolehkan kumpulan itu mengurus tahap mudah tunai dan penggearan untuk membiayai operasi semasa serta pertumbuhan masa depan syarikat. 

Penyedia perkhidmatan kejuruteraan bersepadu global itu hari ini meluluskan resolusi bagi cadangan tawaran penempatan persendirian yang melibatkan sehingga 336.83 juta saham. 

Ia mewakili kira-kira 10 peratus daripada jumlah saham yang diterbitkan syarikat sehingga 30 Nov 2020, yang merupakan tarikh praktikal terkini sebelum pengumuman itu, yang pertama kali diberitahu kepada Bursa Malaysia pada 8 Dis 2020. 

Cadangan penempatan itu turut membabitkan sehingga 101.05 juta saham kepada Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Dr Mohd Abdul Karim Abdullah atau kepada orang yang berkaitan dengannya, mewakili sehingga tiga peratus daripada jumlah saham yang diterbitkan syarikat. 

''Ini juga akan menyebabkan aliran tunai syarikat dapat dipertingkatkan, kecairan, penjimatan kos faedah dan tahap penggearan yang lebih baik,” kata Abdul Karim dalam satu kenyataan hari ini.

Sebahagian daripada dana yang dikumpul daripada langkah ini akan digunakan sebagai modal kerja untuk projek-projek di Abu Dhabi, yang merangkumi pembinaan pusat data, kemudahan termasuk pembangunan hab inovasi bersama-sama dengan infrastruktur teknologi maklumat yang berkaitan. 

''Hasil daripadanya juga akan digunakan sebagai perbelanjaan modal bagi menaik taraf kemudahan pengeluaran di Limbungan Teluk Ramunia yang terletak di Kota Tinggi, Johor yang terdiri daripada pembersihan tapak, baik pulih fasiliti bangunan sedia ada, pembelian dan pemasangan jentera berat serta peralatan yang berkaitan dengan perkhidmatan fabrikasi,'' katanya lagi.

Harga terbitan tawaran saham penempatan, dengan diskaun tidak lebih daripada 10 peratus, akan ditentukan melalui pelaksanaan pembinaan tempahan dan akan ditetapkan berdasarkan harga pasaran jumlah purata saham  Serba Dinamik  untuk lima hari pasaran sejurus sebelum tarikh penetapan harga.

 Serba Dinamik  dilaporkan berkata cadangan penempatan persendiriannya akan meningkatkan penggearan bersih syarikat kepada antara 0.5 kali dan 0.6 kali berbanding 0.88 kali selepas selesai langkah itu pada Januari 2021.

-- BERNAMA



 





    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]