Berita

Petronas jangka industri minyak dan gas hadapi cabaran pada 2021



KUALA LUMPUR, 31 Dis -- Prospek industri minyak dan gas pada tahun 2021 dijangka akan kekal mencabar disebabkan kemerosotan permintaan yang belum pernah terjadi sebelum ini akibat daripada pandemik COVID-19, ia telah memberi kesan kepada pasaran domestik dan global, kata Petroliam Nasional Bhd (Petronas).

Petronas mengekalkan pandangannya itu walaupun harga minyak merosot dan ia akan terus mempercepatkan peralihan ke arah ekonomi rendah karbon, mendorong campur tangan dasar dan kerjasama global di seluruh industri.

"Walaupun gas tetap menjadi sumber bahan api yang penting dan bersih, kepelbagaian dalam tenaga boleh diperbaharui sangat diperlukan.

"Petronas telah mengambil langkah-langkah yang menunjukkan komitmen kukuh kami terhadap kemampanan dan kami juga menyedari mengenai peralihan tenaga global yang berlaku dengan pantas, ia dipertingkatkan oleh harapan pihak berkepentingan dan peluang yang luas," kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Tengku Muhammad Taufik dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Menerusi hasrat Petronas untuk mendorong langkah peralihan dalam cara tenaga dihasilkan, beliau berkata syarikat itu mengumumkan aspirasinya untuk mencapai sifar bersih pelepasan karbon menjelang tahun 2050 sebagai sebahagian daripada pendekatan holistiknya terhadap kemampanan yang mengimbangkan persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG) merentasi rantaian nilai.

Petronas hari ini mengeluarkan laporan Prospek Aktiviti PETRONAS (PAO) tahunannya bagi tahun 2021-2023 untuk berkongsi pandangan syarikat mengenai trend industri, prospek permintaan dan aktiviti yang akan datang daripada perniagaan huluan, hiliran, gas dan tenaga baharu Petronas yang akan datang.

Sementara itu, Naib Presiden Perolehan Kumpulan, Freida Amat berkata krisis yang berlaku sekarang memerlukan syarikat untuk terus berdaya tahan dan bergerak pantas dengan mengambil langkah-langkah yang dapat mengatasi ketidaktentuan pasaran dan peralihan tenaga.

"Sangat penting bagi pemain industri untuk menyesuaikan diri dan menerapkan amalan kebiasaan baharu. Bekerja dengan margin yang lebih ketat, ia memerlukan penggiat industri mengubah amalan yang lama, menerapkan pendigitalan, kemajuan teknologi, dan menjalinkan kerjasama kreatif untuk meneroka peluang.

“Petronas menjangka prospek yang stabil untuk sokongan pengeluaran, penggerudian, fabrikasi dan pemasangan platform telaga dan kemudahan dasar laut, serta kegiatan penutupan pengoperasian. Namun, prospek sederhana diharapkan untuk fabrikasi dan pemasangan platform pemprosesan berpusat serta kapal sokongan projek,” katanya.

Dalam laporan itu, Petronas juga berkongsi pandangannya yang akan memberi kesan positif kepada industri, termasuk memacu peningkatan penggunaan gas asli sebagai sumber bahan bakar yang lebih bersih dalam peralihan tenaga manakala membina kemampuan dalam tenaga yang dapat diperbaharui.

Selain itu, laporan itu juga menekankan bahawa syarikat itu sedang membangunkan teknologinya untuk menyokong aspirasi kemampanannya untuk mencapai sifar bersih pelepasan karbon menjelang 2050.

-- BERNAMA

 

 


 




    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]