Berita

KeTSA perkenalkan tiga inisiatif galak pengguna elektrik pasang solar fotovoltaik

Source: KeTSA FB

PUTRAJAYA, 29 Dis -- Dalam memberi peluang kepada lebih ramai pengguna elektrik memasang solar fotovoltaik (PV) di bumbung bangunan masing-masing bagi penjimatan bil elektrik, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) memperkenalkan Program Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) 3.0.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata NEM 3.0 akan menawarkan kuota sebanyak 500 megawatt (MW) bagi tempoh 2021 hingga 2023.

Program NEM 3.0 yang mencakupi tiga inisiatif - Program NEM Rakyat, Program NEM GoMEn (Government Ministries and Entities) dan Program NOVA (Net Offset Virtual Aggregation) - turut  membenarkan pemilik bangunan komersial dan industri untuk berkongsi lebihan tenaga dengan bangunan mereka di lokasi berlainan menggunakan konsep NEM maya.

"Kerajaan berharap pelaksanaan NEM 3.0 ini akan membolehkan lebih ramai rakyat, agensi Kerajaan, rumah-rumah ibadat serta syarikat dan usahawan tempatan untuk terlibat dalam agenda pembangunan tenaga boleh baharu negara di samping membantu menjimatkan bil elektrik bagi meringankan impak penularan pandemik COVID-19," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Shamsul Anuar berkata Program NEM Rakyat diperkenalkan memandangkan hanya lima peratus permohonan di bawah Program NEM 2.0 adalah pengguna elektrik kategori domestik, dan mereka boleh menikmati penjimatan bil elektrik melalui pemasangan solar PV. 

Program NEM Rakyat mengekalkan konsep offset 1 to 1 dengan kuota sebanyak 100MW atau sehingga kesemua kuota itu habis dengan ia dijangka memberikan manfaat pengurangan bil elektrik kepada 10,000 - 25,000 pemilik akaun domestik Tenaga Nasional Bhd (TNB) atau kira-kira 40,000-100,000 isi rumah di Semenanjung.

"Pengguna akan menikmati kadar offset 1 to 1 selama 10 tahun dan seterusnya mendapat penjimatan bil elektrik melalui konsep self-consumption selepas tamat tempoh itu," katanya dan menambah permohonan boleh dikemukakan kepada Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) bermula 1 Feb 2021 hingga 31 Dis 2023.

Bagi Program NEM GoMEn, Shamsul Anuar berkata ia bertujuan mengurangkan bil elektrik di bangunan-bangunan kerajaan dengan kuota sebanyak 100MW dengan syarat-syarat sama seperti Program NEM Rakyat dengan kira-kira 100 buah agensi kerajaan di Semenanjung dijangka menikmati penjimatan bil elektrik yang dianggarkan berjumlah RM6 juta sebulan. 

Untuk Program NOVA pula, Shamsul Anuar berkata ia bagi membantu pengguna bukan domestik daripada kategori komersial dan industri yang terkesan akibat pandemik COVID-19 yang membolehkan usahawan, syarikat tempatan dan rumah-rumah ibadat menjimatkan bil elektrik dan mengurangkan kos menjalankan perniagaan.

Program ini berdasarkan tiga elemen iaitu pengguna mendapatkan bekalan elektrik secara langsung daripada sistem solar PV dan mengurangkan pembelian elektrik daripada syarikat utiliti; kedua, menjual lebihan tenaga elektrik daripada sistem solar PV kepada sistem grid pada harga pasaran sebagai kredit tenaga dalam bil elektrik bulan berikutnya dan ketiga, melakukan ‘offset’ lebihan tenaga elektrik melalui pengagihan secara maya bagi 1 hingga 3 akaun bil elektrik di bawah pemilik yang sama.

Permohonan bagi Program NOVA akan dibuka mulai 1 April 2021 sehingga 31 Dis 2023 atau sehingga kesemua kuota habis diagihkan dengan perincian pelaksanaan program ini akan diumumkan sebelum permohonan dibuka.

-- BERNAMA




    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]