Berita

OGSE100 mula catat pemulihan awal - MPRC



KUALA LUMPUR, 16 Dis  -- Industri perkhidmatan dan kelengkapan minyak dan gas (OGSE) Malaysia mula mencatatkan pemulihan awal sejak tahun kewangan 2019 didorong aktiviti projek yang meningkat sederhana dan susut nilai lebih rendah.

Menurut Perbadanan Sumber Petroleum Malaysia (MPRC), syarikat OGSE mencatatkan susut nilai yang besar sejak dua tahun lepas.

Bagaimanapun, data kewangan daripada 100 syarikat OGSE persendirian dan senaraian awam utama di Malaysia menunjukkan kerugian berkurangan pada 2019 dalam keadaan peningkatan aktiviti, menurut agensi pembangunan industri itu.

"Analisis awal ke atas 100 syarikat OGSE utama (OGSE100) menunjukkan sektor ini kembali merekodkan keuntungan, dengan keuntungan sebelum cukai berjumlah RM612.45 juta pada tahun kewangan 2019 berbanding kerugian sebanyak RM1.87 bilion yang dicatatkan pada tahun sebelumnya,” menurutnya dalam kenyataan Selasa.

OGSE100 menganalisis prestasi kewangan syarikat senaraian awam dan persendirian untuk menyediakan penilaian ‘situasi industri’ yang baik kepada industri, pembuat dasar dan institusi kewangan.

Presiden dan Ketua Eksekutif MPRC, Mohd Yazid Ja'afar berkata dalam melangkah ke hadapan, peserta OGSE perlu menilai semula strategi dan daya tahan mereka dalam mengharungi tahun-tahun akan datang susulan penurunan ketara permintaan minyak global disebabkan pandemik COVID-19, ditambah dengan lebihan bekalan.

"Peserta industri juga perlu berkembang dengan cara yang menyumbang kepada usaha digitalisasi rantai bekalan dan juga mengurangkan jejak karbon mereka," katanya.

Mohd Yazid berkata secara global, terdapat perubahan berperingkat namun konsisten dalam dasar untuk menyokong peralihan tenaga, menggalakkan penggunaan teknologi dan bahan bakar boleh diperbaharu.

Beliau berkata pada masa yang sama, pelabur dan dana negara juga bersama-sama menggalakkan usaha penyahkarbonan.

"Pelabur akan melihat dengan lebih mendalam terhadap kesan alam sekitar daripada perkhidmatan dan pengeluaran minyak dan gas melalui pelaburan yang menumpukan kepada tadbir urus sosial alam sekitar memandangkan campuran tenaga masa depan telah dibentuk," katanya.

-- BERNAMA

 

 





    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]