Berita

Permintaan elektrik susut, tenaga boleh diperbaharui peroleh momentum



Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 16 Dis -- Penularan pandemik COVID-19 yang melanda pada masa ini hampir melumpuhkan ekonomi dunia.

Kebinasaan yang dialami ini telah memberi kesan signifikan terhadap aliran penggunaan elektrik bukan sahaja di Malaysia, malah di mana-mana jua pun kerana sekatan pergerakan yang dikuatkuasa untuk menghentikan penularan virus telah menyebabkan perubahan secara tiba-tiba tabiat sosioekonomi seperti berulang-alik, bekerja dan bermain.

Ketika pandemik ini memuncak, hanya industri penting dibenarkan beroperasi tetapi dihadkan pada kapasiti 50 peratus sementara industri lain ditutup ataupun mengambil pendekatan bekerja secara "remote".

Situasi ini mengakibatkan permintaan tenaga menyusut secara mendadak, terutamanya dalam penggunaan komersial dan industri.

Walaupun terdapat lonjakan dalam penggunaan elektrik isi rumah, itu tidak cukup untuk mengisi penurunan penggunaan komersial dan industri kerana ekonomi hanya beroperasi pada kapasiti 45 peratus sepanjang tempoh tujuh minggu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Tanpa menghiraukan permintaan penggunaan, pengendali tenaga berusaha memastikan bekalan berterusan sepanjang tempoh PKP, PKP Bersyarat dan PKP Pemulihan di dalam negara.

 

Permintaan elektrik

Tenaga Nasional Bhd (TNB), syarikat gergasi utiliti negara ini menyatakan sepanjang PKP, penggunaan elektrik dalam sektor industri dan komersial menyusut antara 25 peratus dan 50 peratus berikutan pemberhentian aktiviti perniagaan dan perindustrian.

Sebaliknya, penggunaan dalam sektor perumahan melonjak antara 20 peratus dan 50 peratus kerana keluarga perlu diam di rumah dan pekerja bekerja dari rumah masing-masing.

Ia menjangkakan penggunaan elektrik turun antara 6.0 dan 10 peratus tahun ke tahun pada 2020, terutamanya disebabkan oleh aktiviti sektor komersial yang perlahan.

Unjuran itu adalah dalam lingkungan 5.0-10 peratus penurunan permintaan elektrik global yang diramalkan oleh Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA).

Ini turut memberi kesan terhadap permintaan arang batu, minyak dan gas.

Menurut IEA, tenaga boleh diperbaharui adalah satu-satunya sumber yang mencatat pertumbuhan permintaan, didorong antaranya oleh kapasiti terpasang yang lebih besar.

Malah, permintaan global juga dijangka tidak kembali kepada keadaan asal dalam masa terdekat.

"Permintaan elektrik tidak mungkin kembali ke paras biasa walaupun selepas pengembangan vaksin koronavirus,” demikian menurut laporan saintis dari Universiti Columbia.

"Pandemik COVID-19 yang berlaku pada masa ini telah menyebabkan perubahan yang tidak pernah terjadi sebelumnya dalam cara orang berinteraksi dan pendekatan dalam kegiatan ekonomi.

"Permintaan elektrik telah menurun dan pola penggunaan telah diubah - perubahan yang akan terus kekal walaupun selepas pandemik berakhir," tambah laporan itu.

 

TNB turut terkesan

 Keuntungan bersih syarikat gergasi utiliti ini bagi tempoh sembilan bulan tahun ini merosot kepada RM2.38 bilion daripada RM3.88 bilion tempoh yang sama tahun lalu. Perolehan untuk bulan kumulatif berakhir 30 Sept, 2020 turut menyusut kepada RM33.65 bilion daripada RM38.76 bilion sebelumnya.

Setakat ini, ia mempunyai 9.2 juta akaun dan daripada jumlah itu, 7.4 juta akaun adalah kediaman sementara selebihnya sektor komersial.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, TNB menjelaskan peningkatan permintaan dari segmen kediaman tidak mampu mengisi penurunan dalam penggunaan komersial dan industri kerana kedua-dua segmen ini menyumbang hampir 80 peratus penjualan di Semenanjung Malaysia.

Ia turut melaporkan pandemik COVID-19 telah menjejaskan kemajuan inisiatif kumpulan untuk mengurangkan pendedahan semasa, termasuk langkah penyusunan semula dan penjualan pelaburan, terutamanya dalam syarikat yang ia mempunyai kepentingan 30 peratus GAMA (Turki) dan GCR (India).

Bagaimanapun, aset UK kumpulan ini dilindungi oleh skim subsidi jangka panjang.

Justeru, TNB akan memanfaatkan aset dan pengalaman pasaran UK yang ada untuk membangun portfolio tenaga boleh diperbaharui yang besar menjelang 2021 melalui pengambilalihan kedua-dua aset operasi dan pembangunan projek lapangan hijau.

 

Insentif/Galakan 

Oleh kerana langkah sekatan pergerakan dan kesan berikutnya menyebabkan pengangguran dan kehilangan pekerjaan, kerajaan telah memperkenalkan pelbagai insentif di bawah pakej rangsangan ekonomi seperti diskaun ke atas penggunaan elektrik kepada 7.5 juta pengguna kediaman dan sektor lain yang terjejas serta pelan pembayaran yang fleksibel.

Mengenai kadar surcaj Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) setiap enam bulan, TNB mengesahkan pelarasan itu ialah kepada sifar daripada dua sen/kWh untuk pengguna domestik dan bukan domestik, mulai 1 Julai hingga 31 Dis, 2020.

Ini disebabkan oleh penurunan kos bahan bakar sebenar untuk tempoh Januari-Jun 2020 berbanding tempoh enam bulan sebelumnya (Julai-Disember 2019).

Oleh kerana arang batu dan gas asli kini merupakan dua bahan bakar utama untuk stesen janakuasa, pergerakan turun naik harga bagi kedua-dua bahan bakar ini akan mempengaruhi harga elektrik di Malaysia dan ia adalah di luar kawalan.

Justeru, dasar kerajaan dan harga tenaga akan mempengaruhi rentak perkembangan dan penggunaan teknologi baharu tahun depan, dengan mengambil kira faktor ekonomi dan persekitaran pasaran global.

 

Beralih kepada Tenaga Boleh Diperbaharui

Kerajaan  telah memperkenalkan beberapa inisiatif seperti program pemeteran tenaga bersih (NEM) dan penyewaan solar untuk meningkatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui (RE).

Bank turut menawarkan pakej kewangan tenaga solar dengan kadar faedah yang lebih rendah dan ini akan membantu Malaysia mencapai sasaran kecekapan RE sebanyak 20 peratus menjelang 2025 di celah-celah kesedaran yang kian meningkat terhadap tenaga hijau.

Penyertaan syarikat-syarikat besar seperti Taliworks Corporation Bhd, Malakoff Corporation Bhd dan Fraser & Neave Holdings Bhd dan International Paper Sdn Bhd akan membantu Malaysia mencapai sasaran itu dengan lebih pantas.

Syarikat lain yang turut menyokong industri RE ialah FGV Holdings Bhd dan unit Malakoff Corporation Bhd, Southern Biogas Sdn Bhd, masing-masing telah memasang loji janakuasa biogas di Pahang dan Johor.

Mah Sing Plastics Industries Sdn Bhd dan AT Glove Engineering Sdn Bhd pula masing-masing memasang projek fotovolta solar di kilang pintar di Klang dan kilang pembuatan di Perak.

Sementara itu, keputusan kerajaan untuk memberikan lebih banyak insentif di bawah Belanjawan 2021 akan membantu merancakkan pertumbuhan industri RE.

Antara inisiatif yang diberikan ialah Bon Kelestarian pertama untuk inisiatif alam sekitar dan sosial dan peruntukan RM2 bilion di bawah Skim Pembiayaan Teknologi Hijau.

Lembaga Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) telah menganggarkan sekitar 4.1 juta bangunan di Malaysia masih boleh menampung panel solar dan secara kolektif menjana kuasa puncak elektrik sekitar 24 gigawatt.

Menurut Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi, kapasiti RE dijangka mencapai kapasiti 12-13 grid gigawatt penjanaan terpasang menjelang 2030.

Bergerak ke hadapan, pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Plus Solar Systems Sdn Bhd, Ko Chuan Zhen berkata, tenaga alternatif seperti RE dapat mempercepat Rancangan Malaysia ke-12.

Beliau berkata ini dapat dilakukan dengan industri RE yang diliberalisasi dan kurang bergantung kepada subsidi serta Pemeteran Tenaga Bersih (NEM 3.0).

"Ia adalah proses yang panjang dan mengambil masa lebih 10 tahun untuk melihat perubahan yang nyata, tetapi apabila ia berlaku, tenaga alternatif seperti solar, dan lain-lain seperti gas asli dan simpanan bateri akan membentuk majoriti, jauh melebihi minyak dan gas,” kata beliau.

Ko berkata pengguna perindustrian kini beralih minat kepada tenaga solar kerana mereka boleh menjana, menyimpan dan menggunakan tenaga elektrik mereka sendiri ataupun menjual lebihan kepada grid.

Sehingga kini, Plus Solar Systems telah memasang sistem fotovolta solar di lebih 700 bangunan, serta sejumlah besar ladang solar berskala besar di seluruh Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Perlis dan Kedah.

- BERNAMA

 





    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]