Berita

Pihak berkepentingan digesa tingkatkan kerjasama bagi usaha kemampanan minyak sawit



KUALA LUMPUR, 14 Dis  -- Persatuan Perlindungan Alam Sekitar Malaysia (EPSM) menggesa pihak berkepentingan minyak sawit meningkatkan kerjasama dengan organisasi alam sekitar, budaya dan sosial untuk berdepan dengan pihak luar berkaitan persepsi negatif terhadap minyak sawit.

Presiden, Nithi Nesadurai berkata pihak berkepentingan minyak sawit perlu mendapatkan input daripada organisasi atau pertubuhan tersebut untuk membangunkan sektor minyak sawit yang mampan, yang memerlukan transformasi menyeluruh bermula daripada pilihan kawasan, penanaman, pengekstrakan minyak dan penggunaan akhir.

“Situasi yang dihadapi bumi hari ini adalah krisis dan kecemasan. Justeru, memupuk kemampanan ekologi melalui cara kehidupan yang baik mengikut had ekologi bumi adalah satu-satu caranya dalam melangkah maju.

“Tiada pilihan lain, dan ini termasuk bagi sektor minyak sawit,” katanya pada Sidang Kemuncak Minyak Sawit Bukti Masa Depan (FPPO) secara dalam talian hari ini.

Pembuktian masa depan merupakan proses menjangkakan masa depan dan membangunkan keadaan bagi mengurangkan kesan kejutan dan tekanan peristiwa akan datang.

Beliau berkata amat penting untuk industri mengubah dan mengatasi serangan berterusan terhadap minyak sawit, terutama oleh Kesatuan Eropah.

Selepas dakwaan mengenai kesihatan yang negatif, isu alam sekitar pula berada dalam senarai serangan ke atas industri ini termasuk minyak sawit adalah bertumpuan pembasmian hutan, pembebasan lebih banyak gas rumah hijau dan mengurangkan populasi hidupan liar, terutama orang utan.

Nithi berkata ketika industri menangani cabaran itu, ia juga perlu memanfaatkan peluang selain menumpukan peningkatan hasil, mewujudkan koridor hidupan liar dan meningkatkan kepelbagaian bio.

“Industri juga sewajarnya menekankan teknologi sifar sisa, menjadi sumber bagi tenaga boleh diperbaharu dan menguar-uarkan usaha anda,” katanya.

Sementara itu, Ketua Unit Perkhidmatan Nasihat Teknikal, Bahagian Pembangunan Produk dan Perkhidmatan Nasihat, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Nik Aznizan Nik Ibrahim menekankan pengeluaran pesat merupakan faktor utama pembasmian hutan bagi semua komoditi pertanian utama.

“Syarikat sawit paling berkomited untuk tidak melakukan pembasmian hutan iaitu sebanyak 59 peratus, diikuti syarikat kacang soya 53 peratus, kayu/pulpa 21 peratus dan lembu 12 peratus,” katanya.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Dibiz Pte Ltd, U. R. Unnithan pula berkata pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), yang merupakan inisiatif kerajaan, memerlukan pematuhan untuk ia memberi manfaat kepada kalangan pekebun kecil.

“Ideanya adalah bagaimana kita dapat membantu kalangan pekebun kecil mengamalkan amalan pertanian yang betul dengan mementingkan kemampanan.

“Apabila mereka memperoleh hasil lebih tinggi, pendapatan bersih mereka akan meningkat sekali gus perbelanjaan yang mereka tanggung akan lebih ringan,” katanya.

Beliau mengulas mengenai persepsi dalam kalangan pekebun kecil bahawa pensijilan MSPO adalah mahal.

Diharapkan insentif akan dapat memberi dorongan kepada pekebun kecil untuk bersama-sama dengan agenda kemampanan oleh kerajaan, katanya.

Sebagai rekod, kira-kira 13 juta tan atau 21 peratus bekalan minyak sawit dunia disahkan sebagai bertanggungjawab dan mampan berlandaskan kriteria Meja Bulat Minyak Sawit Mampan (RSPO) dan sekitar 58.3 peratus daripada 5.85 juta hektar kawasan penanaman kelapa sawit telah memperoleh pensijilan MSPO.

Semua syarikat besar di Malaysia yang menguasai lebih 60 peratus kawasan penanaman telah disahkan mampan.

Manakala, kira-kira 32.2 peratus daripada 16.38 juta hektar kawasan penanaman di Indonesia juga telah diperakui mengikut Minyak Sawit Mampan Indonesia (ISPO).

FPPO 2020 selama empat hari mulai hari ini dirancang untuk menangani isu-isu berkaitan dengan minyak sawit dan mengesyorkan penyelesaian menerusi perbincangan mengenai pasaran, dasar, strategi, teknologi dan inovasi.

-- BERNAMA





    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]