Berita

KPower sasar lonjakkan nilai perolehan kontrak sebanyak RM2 bilion lagi



KUALA LUMPUR, 9 Dis -- Kumpulan Powernet Bhd (KPower), yang mencatatkan nilai perolehan kontrak dari Malaysia, negara-negara ASEAN dan Nepal berjumlah RM1.4 bilion, menyasar untuk meningkatkan nilai itu dengan sebanyak RM2 bilion lagi pada tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2021.

Pengerusi Kumpulan, Datuk Abdul Karim Abdullah berkata sasaran itu sejajar dengan prestasi positif di wilayah serantau yang menempatkan operasi KPower serta permintaan domestik yang kukuh.

“Kami turut berhasrat membangunkan keupayaan dalam spektrum tenaga boleh diperbaharu lain seperti projek solar berskala besar di samping memperluas tawaran produk meliputi projek tenaga solar dan angin hibrid dengan tumpuan kepada pasaran Eropah, Timur Tengah dan Asia Tengah,” katanya semasa taklimat media secara maya hari ini.

Beliau juga mengumumkan anak syarikat milik penuh KPower, KPower Engineering Sdn Bhd memperoleh kontrak bernilai RM296 juta daripada Kangsar Hidro Sdn Bhd.

Kangsar Hidro merupakan syarikat usaha sama di antara agensi negeri Perak, Yayasan Perak (15 peratus kepentingan ekuiti) dengan Kangsar Capital Sdn Bhd (85 peratus pegangan), yang diwujudkan untuk melaksanakan pembangunan projek berkenaan.

“Kontrak itu adalah antara lain bagi menjalankan kerja-kerja kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan, pengoperasian dan penyiapan (EPCC) loji jana kuasa hidro mini dengan kapasiti keseluruhan 27.3 MW di Sungai Singor, Perak,” katanya.

Abdul Karim berkata kontrak itu membuktikan usaha bersungguh-sungguh pihaknya untuk memperoleh projek berterusan dalam mencapai sasaran tambahan nilai perolehan kontrak sebanyak RM2 bilion sebelum tahun kewangan ini berakhir.

“Berdasarkan sasaran ASEAN baru-baru ini untuk mencapai 35 peratus tenaga boleh diperbaharu dalam kapasiti tenaga terpasang menjelang 2025 dan juga operasi serantau prasedia ada kami, kami berada di kedudukan baik untuk pertumbuhan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan, Mustakim Mat Nun berkata Malaysia sentiasa menjadi tumpuan utama bagi KPower dan projek di Perak akan memperkukuh lagi kedudukan syarikat dan platformnya memandangkan KPower sedang meneroka peluang lain.

“Walaupun hidro kekal sebagai kelebihan kami, namun kami turut giat meneroka produk dan pasaran lain. Kami yakin dengan prospek syarikat berasaskan unjuran daya tahan sektor tenaga dan pemulihan ekonomi yang dijangkakan.

“Ini memberikan kami peluang yang amat banyak untuk dimanfaatkan di samping melonjakkan pertumbuhan kami dalam sektor tenaga,” katanya.

Keuntungan bersih KPower bagi suku pertama tahun kewangan 2021 melonjak kepada RM8.14 juta daripada RM948,000 bagi tempoh suku yang sama sebelum itu, dipacu oleh peningkatan ketara aktiviti berkaitan pembinaan.

Perolehan pula meningkat kepada RM57.06 juta daripada RM11.16 juta bagi tempoh yang sama.

Harga sahamnya juga meningkat kukuh daripada RM1.52 pada Januari 2020 kepada RM5.29 semasa rehat tengah hari ini, didorong oleh prestasi korporat sukuan yang lebih baik walaupun dalam situasi pandemik COVID-19.

Pada 13 Nov lepas, KPower mengumumkan ia membatalkan cadangan bagi pengasingan saham, yang sebelum itu dirancang untuk dilaksanakan pada 2 Dis, selepas mempertimbangkan kenaikan harga saham KPower baru-baru ini.

-- BERNAMA

 





    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]